BlogList Malaysia

04 May 2012

Peserta BERSIH buat laporan kekasaran polis

Sekumpulan peserta perhimpunan BERSIH yang mendakwa menjadi mangsa kekasaran polis tampil membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Seksyen 8 Petaling Jaya hari ini.

Mereka dikumpulkan melalui inisiatif Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Persidangan Cina Kuala Lumpur dan Selangor yang menawarkan bantuan sejak 1 Mei lalu.

Enam daripada 19 orang tampil di balai polis berkenaan, kata wakil jawatankuasa itu Chong Kok Siong.

Mereka diiringi kumpulan Latheefa Koya, Afiq M Noor dan Fadiah Nadwa Fikri dari kumpulan peguam Lawyers for Liberty.


Proses merakamkan percakapan mereka oleh pihak polis dijangka berlangsung sepanjang hari ini.

Seorang mangsa, Mohd Faizal Nurhakim, 26, mendakwa 'dilanyak' kira-kira 10 orang polis - yang sebahagiannya tidak memakai tanda nama - walaupun sudah mengangkat tangan tanda menyerah diri.

"Mereka lanyak saya tanpa belas kasihan. Mereka (10 orang polis itu) pijak kepala saya apabila saya terbaring," dakwanya.

Dibuang ke longkang

Mohd Faizal mendakwa, beliau kemudian ditumbuk serta dihambur kata-kata makian dari polis sewaktu diheret dalam jarak 100 meter ke tempat tahanan sementara di Kelab DiRaja Selangor berhampiran Dataran Merdeka.

"Pukul 2 pagi baru saya dilepaskan dan polis hantar saya ke perhentian bas Jalan Duta," katanya yang diarahkan ke Hospital Kuala Lumpur jika mahu mendapatkan keputusan pemeriksaan kesihatan yang dibuat di Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

Seorang lagi mangsa, Jashamsulnizam Md Jani, 27, mendakwa diangkat dan dibuang ke dalam longkang sedalam tiga kaki oleh tiga orang polis berhampiran Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"Sewaktu saya lari, tiga orang polis tendang saya dari belakang. Saya terjatuh dan mereka angkat dan buang saya ke dalam longkang," ceritanya.

Akibatnya, pergelangan tangan beliau retak dan tempurung lututnya lari, dakwa pensyarah sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur.

Dibaling kerusi

Seorang lagi mangsa, Robert Dass memberitahu beliau sempat mengelak kerusi kayu dibaling polis yang menyerbu sebuah restoran di Jalan Tun Perak.

"Kejadian berlaku pada kira-kira jam 3 petang. Saya dan beberapa orang kawan berada di dalam Restoran Jamek sebelah Masjid Jamek.

"Polis membuka shutter restoran secara paksa dan memaki hamun serta menjerit-jerit ke arah orang ramai," kata Robert.

Sementara itu, Fadiah Nadwa yang bertindak sebagai peguam mengiringi mangsa-mangsa menggesa agar satu suruhanjaya bebas ditubuhkan menyiasat semua keganasan polis.

"Kita desak satu suruhanjaya yang bebas daripada (pegawai tertinggi) polis Bukit Aman ditubuhkan menyiasat keganasan ini," katanya.

http://www.malaysiakini.com/news/196970


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas