BlogList Malaysia

30 March 2012

Malaysia rayu Israel melobi tuan rumah Persidangan Gas

Sekitar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Malaysia pernah mendapatkan bantuan Israel melobi untuk mendapatkan hak menganjurkan Persidangan Gas Sedunia (WGC) 2005.

Setiausaha Agung PKR Dato’ Saifuddin Nasution Ismail berkata, semasa tahun 2005, Malaysia telah merayu bantuan Israel supaya menyokong cadangan Malaysia menjadi tuan rumah.

Malah, dakwanya Malaysia turut menawarkan secara tidak langsung untuk menguruskan penginapan dan pendaftaran wakil-wakil Israel ke Persidangan Pertubuhan Gas Antarabangsa (IGU) di Tianjin, China.


“Pendekatan merayu bantuan Israel ini mendapat restu dan atas nasihat Wisma Putra.

“Penganjurannya pula dikendalikan oleh Persatuan Gas Malaysia yang diwakili oleh Petronas dan dinasihati oleh Perdana Menteri (ketika itu) Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Malaysia akan menjadi tuan rumah WGC yang akan berlangsung di sini bermula 4 hingga 8 Jun depan, satu persidangan terbesar yang akan mengumpulkan syarikat-syarikat minyak dan gas dari seluruh dunia.

Penganjuran IGU dipilih melalui undi oleh anggota IGU yang antaranya disertai Rusia, Brunei, Indonesia, selain Malaysia dan Israel.

Ahli Parlimen Machang itu mendakwa, pihaknya mempunyai bukti Tun Mahathir dan Wisma Putra sedia maklum mengenainya tetapi mereka hanya merestui sahaja pendekatan ini.

Beliau turut mengemukakan bukti surat yang pernah ditulis oleh Presiden Persatuan Gas Malaysia kepada Pengurus Besar Institut Petroleum dan Tenaga Israel Shmuel Klempner bertarikh 6 September 2005.

“Sikap Umno dan pimpinan mereka yang menentukan dasar Wisma Putra adalah bertentangan dengan keinginan rakyat Malaysia yang tidak mahu ada sebarang hubungan diplomatik sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan Israel.

Sikap talam dua muka Umno

“Malah, pendedahan kali ini membongkarkan hipokrasi tertinggi Umno dan pimpinan mereka dalam isu hubungan Israel kerana bukan sahaja mereka menyatakan hasrat untuk mengadakan hubungan diplomatik, malah terbukti mereka pernah melutut dan merayu sokongan dari Israel,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak penjelasan daripada Wisma Putra dan Tun Mahathir mengenai perndirian yang telah diambil sehingga merestui pendekatan pihak penganjur WGC yang merayu bantuan dan sokongan Israel, kerana ini bertentangan dengan solidariti rakyat Malaysia dengan perjuangan Palestin.

Katanya, PKR akan terus menyiarkan dokumen dan surat menyurat yang ada ditangan mereka bagi membuktikan bagaimana pimpinan Umno terlibat secara langsung dalam perkara ini.

“PKR ada bukti kukuh yang mengesahkan sikap talam dua muka Umno yang secara diam-diam merestui hubungan dua hala diantara Malaysia dan Israel sedang ia menyerang (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menolak usul Ahli Parlimen DAP-Bakri Er Teck Hwa menggesa Perdana Menteri menalik balik semua keputusan Jemaah Menteri mengenai hubungan perdagangan dengan Israel dan mengiktiraf kewujudan Hamas yang dilantik secara demokrasi oleh Palestin.

Usul itu ditolak dibawah Peraturan Mesyuarat 18(7)(b) atas alasan isu ini telah dibangkitkan dan dijelaskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam Dewan Rakyat pada 26 Mac lalu.

Sumber - http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/03/29/malaysia-rayu-israel-melobi-tuan-rumah-persidangan-gas/


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas