Peguam veteran, Karpal Singh akan memfailkan permohonan bagi Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusannya menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atas imam Hoslan Hussain ekoran insiden melempar selipar.
Karpal, yang merupakan peguam yang mewakili Hoslan berkata hukuman Mahkamah Persekutuan itu adalah "nyata keterlaluan".
Karpal berkata, Hoslan tidak akan berpeluang untuk mengemukakan rayuan kerana hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, dalam kes-kes terkecuali, mahkamah boleh menyemak keputusannya sendiri.
"Tidak syak lagi apa yang Hoslan lakukan adalah salah. Ia adalah tidak wajar dan tidak dapat dipertahankan, tetapi di sisi lain, Mahkamah Persekutuan perlu mengambil kira keadaan yang membawa kepada tindakan imam tersebut," kata Karpal kepada pemberita dalam satu sidang akhbar hari ini.
"Beliau telah dihalau keluar dari kuarters kediamannya di masjid di Kampung Pandan, dan kes itu berlarutan sejak tahun 1999.
"Beliau diberitahu rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan telah
ditolak kerana ia melampaui masa, oleh itu dia bertindak dalam kekecewaan pada saat itu," tambah peguam veteran tersebut.
Pada tahun 2008, Jabatan Halehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan mengeluarkan arahan mengusir imam tersebut yang tinggal di dalam kawasan Masjid Ar Rahimah, selepas dakwaan masalah tatatertib dibuat terhadapnya.
Hoslan, bapa kepada tujuh orang anak, melempas selipar ke arah panel tiga anggota mahkamah tertinggi itu, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Suriyadi Halim Omar, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Zaleha Zahari dan Hakim Besar Malaya, Datuk Zulkifli Ahmad Makinuddin yang mengetuai panel tersebut.
Insiden melempas selipar itu berlaku pada 22 Februari. Dua minggu selepas itu, Hoslan dipanggil ke Mahkamah Persekutuan dan dijatuhkan hukuman pada 8 Mac.
0 Komen :
Post a Comment