Kumpulan Felda tidak pernah mengeksport mana-mana produk ke Israel menerusi anak-anak syarikatnya termasuk Felda-Iffco Sdn Bhd (FISB), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan hari ini.
Beliau berkata FISB hanya membuat penghantaran ke Palestin pada 2010 dan 2011 bagi memenuhi pesanan untuk pasaran tempatan dengan menggunakan pelabuhan Ashdod di Israel, kerana tidak mempunyai saluran penghantaran lain.
"Semua produk itu yang terdiri daripada minyak pukal dan lelemak adalah untuk dihantar ke Palestin," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur.
Beliau mengulas dakwaan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat yang mendakwa Felda mengeksport minyak kelapa sawit ke Israel.
Ahmad menjelaskan FISB mula membuat penghantaran ke Palestin pada Mac 2010 manakala penghantaran terakhir dilakukan pada 9 Dis 2011 dengan nilai dagangan sekitar RM30 juta.
Menurutnya invois bertarikh 7 Jan 2012 jelas menunjukkan bahawa FISB telah membuat penghantaran dengan menggunakan kapal Gallia V.1201 ke alamat, Ajjawi Commercial Stores Company, Jenin-Palestin melalui pelabuhan Ashdod.
Ahmad berkata semua jualan itu mempunyai permit eksport daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum penghantaran dibuat.
"Jualan produk minyak pukal dan lelemak adalah berdasarkan terma-terma kos, insurans dan pengangkutan," katanya.
FISB, yang beribu pejabat di Pandamaran, Klang adalah sebuah syarikat multinasional usaha sama antara Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dan Kumpulan IFFCO, syarikat pemprosesan makanan yang berpusat di Sarjah, Emeriyah Arab Bersatu (UAE).
- Bernama
0 Komen :
Post a Comment