Koi nak berkongsi dengan perwakilan KPF dan warga Felda sekalian maklumat yang koi dapat dari sahabat-sahabat dari PR untuk semua. Mula-mula koi tertanya juga apa agaknya perubahan dan kelebihan undi kali ini kalau koi undi PR. Iyalah, macam-macam MSM dan blogger BN kata PR nak tutup Feldalah, hancur Melayulah, macam-macam lagi. Dalam kekalutan dan kontroversi melanda Felda hari ini, tentu ramai yang laparkan alternatif lain kepada perancangan listing, pelanggaran undang-undang KPF dan macam-macam hal lagilah.
Oleh itu Koi perturunkan draf Janji PR Untuk Warga Felda bagi renungan semua warga Felda atau sebagai penguat semangat aouk-aouk semua. Koi tahu ramai di antara peneroka dan kakitangan gerun dengan mulut-mulut yang mendakwa ‘mewakili PM’, ‘arahan PM’ dan kecewa kerana jasa dan bakti untuk memenangkan BN sebelum ini dipandang sepi dan diperlekehkan:
Manifesto Untuk Warga Felda: MENGHARGAI BUDI YANG TELAH MENYEMAI BAKTI
JANJI 1: MENGEMBALIKAN KEHARMONIAN DALAM FELDA
PR berjanji untuk memecat serta merta Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan gerombolannya di dalam Felda serta Lembaga Pengarah Felda yang meluluskan secara membuta tuli keputusan-keputusan merugikan Felda seperti penyenaraian Felda Global Venture secara lulus dahulu bincang kemudian, perlantikan melanggar undang-undang KPF serta lain-lain keputusan yang zalim dan membazir. Jawatan Pengarah Besar FELDA yang dipaksakan bercuti belajar akan dikembalikan begitu juga kezaliman ke atas Timbalan Pengarah Besar yang ditukarkan untuk menjaga buku-buku di Jabatan Perdana Menteri akan dihentikan.
Dalam tempoh 100 hari, Pakatan Rakyat akan menubuhkan Majlis Penasihat Felda yang melibatkan:
• Pengasas Felda dan bekas Menteri berkaitan Felda
• Wakil-wakil negeri berkaitan Felda
• Bekas-bekas Pengerusi Felda
• Bekas Pentadbir Felda
• Pentadbiran Felda semasa
• Ketua-Ketua Peneroka dan Penerokawati
• Wakil Belia Felda
PR akan mendengar pembentangan dan cadangan hala tuju Felda yang seterusnya dan akan bersama-sama merealisasikan hasrat warga Felda. PR mencadangkan sementara Majlis Penasihat Felda ditubuhkan, YM Raja Muhammad Alias, arkitek Felda diberi peranan sekali lagi sebagai Pengerusi Felda dan YM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah diberi peranan sebagai Menteri Felda. Jawatan Pengerusi Yayasan Felda akan dikembalikan kepada Tan Sri Dr. Yusof Noor bagi mengembalikan projek sosial dan kerohanian yang bermanfaat kepada warga Felda.
JANJI 2: MEMPERKASAKAN INDUSTRI ASAS DAN HILIRAN FELDA MELALUI PEMANTAPAN FELDA HOLDINGS BERHAD
PR berjanji untuk memecat serta merta Dato Sabri Ahmad daripada jawatan Presiden Felda Global Ventures, memecat Dr Suzana Idayu daripada Ketua Pegawai Strategi dan membuat rombakan semula struktur bagi mengembalikan Felda Global Ventures sebagai status anak syarikat Felda biasa yang berperanan menguruskan pelaburan Felda di luar negara. Setiap pelaburan di luar negara akan dikaji semula dan akan diumumkan prestasi perniagaan masing-masing kepada masyarakat Felda yang berhak tahu ke mana wang Felda dilaburkan dan apa prestasi terkini pelaburan tersebut.
Felda Holdings Berhad akan dikembalikan fungsinya supaya bebas daripada pengaruh Felda Global Ventures dan cadangan memperkasakan perniagaan anak-anak syarikat Felda Holdings akan dibawa ke dalam Majlis Penasihat Felda dan seterusnya dibincangkan di peringkat Lembaga Pengarah Felda Holdings Berhad.
PR berpendapat berbanding penyenaraian Felda Global, kejayaan Felda Holding Berhad dan anak-anak syarikat pada masa ini adalah suatu yang membanggakan dan memuji usaha gigih pengurusan dan kakitangan serta kerjasama warga Felda yang lain untuk mengharumkan nama Felda Holdings Berhad. Mengambil contoh Petronas yang berjaya mengharumkan nama negara dan meraih pendapatan tinggi tanpa campur tangan politik.
Campur tangan politik BN mengakibatkan tersingkirnya permata korporat iaitu Tan Sri Hassan Merican, pengambilan keuntungan Petronas secara berlebihan tanpa pembentangan perbelanjaan di Parlimen serta penafian hak royalti sewajarnya bagi negeri-negeri pengeluar minyak petroleum.
PR berjanji untuk mengembalikan kegemilangan Felda Holdings Berhad dan anak-anak syarikat melalui memaksimumkan kecekapan, R&D bertaraf dunia, meningkatkan penyertaan warga Felda dalam peluang pekerjaan dan penubuhan Jawatankuasa CAT (Competency, Accountability and Transparency) bagi memantau sebarang aktiviti penyelewengan, rasuah dan penipuan terutama melibatkan hak peneroka seperti Kadar Perahan Gred (KPG), tender melibatkan penanaman semula dan jualan kayu getah serta lain-lain. PR juga akan melamar kembali Tan Sri Hassan Merican daripada syarikat asing di Singapura untuk menggantikan Dato Sabri Ahmad.
JANJI 3: MEMELIHARA KEDAULATAN UNDANG-UNDANG KOPERASI PERMODALAN FELDA DAN KEBAJIKAN AHLI-AHLI
PR berasa kesal dengan usaha berterusan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang menggunakan pelbagai taktik termasuk menekan, mengugut, menyingkir Pengerusi dan Setiausaha Agung Koperasi Permodalan Felda (KPF) serta menggunakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menghalalkan tindakan beliau untuk menjadi Pengerusi KPF dan membubarkan peranan Jawatankuasa Pelaburan KPF yang setakat ini telah berjaya menjadikan KPF sebagai koperasi terbaik negara. Lebih dikesali adalah mengikut jawapan yang diberikan oleh Tan Sri Isa Samad, usahanya direstui malah merupakan ‘arahan’ daripada Perdana Menteri yang jelas menunjukkan Perdana Menteri sendiri tidak menghormati undang-undang sebuah koperasi yang disegani.
PR berjanji untuk menghentikan segala bentuk pelanggaran dan penghinaan undang-undang Koperasi Permodalan Felda dan paksaan melepaskan kepentingan 51% kepentingan Koperasi Permodalan Felda di dalam Felda Holdings Berhad. Sebaliknya, PR berhasrat meningkatkan lagi kepentingan tersebut kepada 55% dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan PR bagi meningkatkan lagi dividen kepada pemegang saham
JANJI 4: MEWUJUDKAN FELDA FASA 2
Kejayaan Felda dalam membasmi kemiskinan masyarakat serta memberikan tanah kepada mereka yang tidak punya apa-apa akan diteruskan di bawah pimpinan Pakatan Rakyat. Berbanding rekayasa-rekayasa BN bahawa Fasa-Fasa Felda melibatkan Empat Fasa dan istilah seperti transformasi yang memerlukan Felda membuat pelaburan luar negara dan membuat penyenaraian Felda Global Venture untuk mengumpul dana bagi tujuan tersebut.
Berdasarkan arkib dan pandangan pakar sejarah serta pengakuan mantan pimpinan negara terdahulu yang terlibat secara langsung dalam penubuhan Felda di samping Tun Abdul Razak, tidak terdapat di mana-mana catatan yang menyebut empat fasa tersebut dan kehendak yang memerlukan pengumpulan dana melalui penyenaraian. Pakatan Rakyat berpegang teguh bahawa terdapat golongan dalam negara yang perlu diberi peluang menjadi peserta rancangan Felda Fasa 2 selepas pengambilan peneroka dihentikan pada tahun 1996.
Pajakan tanah milik Felda yang diuruskan oleh Felda Plantation selama 99 tahun kepada Felda Global Venture adalah berniat jahat dan bertujuan menafikan hak rakyat di negeri-negeri di mana tanah tersebut terlibat termasuklah generasi baru dan lain-lain golongan untuk bersama-sama menjadi peserta rancangan Felda Fasa 2.
Usaha mendapatkan modal yang besar melalui pajakan tanah adalah untuk menutup fakta pengurangan aset tunai yang berkurang secara drastic yang memerlukan pinjaman daripada KWSP serta kerugian pelaburan luar negara di bawah pentadbiran Menteri Felda terbaru iaitu Dato Sri Najib sendiri dan di tambah perlantikan Pengerusi Felda baru yang disabitkan rasuah oleh UMNO sendiri, Bajet 2012 Felda menunjukkan defisit yang tinggi dan dijangka keadaan ini berterusan selama 99 tahun. Antara kesan pajakan tanah milik Felda adalah Perbelanjaan Pengurusan Peneroka berkurang lebih 50% berbanding tahun 2011 dan ini menjejaskan nikmat-nikmat dan perancangan pembangunan untuk peneroka pada hari ini.
PR berhasrat membuka tanah-tanah rancangan baru serta mengisi kembali peserta yang telah meninggalkan atau tersingkir daripada rancangan Felda yang telah dihentikan pengambilannya pada tahun 1996 dengan secara berperingkat dan memastikan penggantian pendapatan kepada Felda dilakukan supaya nikmat warga Felda melalui program pentadbir sedia ada tidak terjejas.
Antara golongan terlibat dicadangkan untuk terlibat dalam pembukaan Felda Fasa 2 adalah rakyat termiskin, generasi baru Felda serta anggota beruniform dan keutamaan adalah kepada anak-anak negeri di mana tanah tersebut berada. Peranan pentadbiran Felda dan Jawatankuasa Perundingan Peneroka akan diiktiraf sepenuhnya berbanding tindakan unilateral BN melalui Pengerusi Felda yang memusuhi pihak-pihak berpengalaman dalam Felda dan hanya mengutamakan pandangan diri sendiri dengan meletakkan alasan ‘Arahan Perdana Menteri’.
Koi minta aouk-aouk semua warga Felda nilai sendiri draf Janji PR untuk warga Felda di atas. Koi difahamkan draf tersebut masih dalam perbincangan dengan pimpinan atasan PR dan draf ini diusulkan sendiri oleh perwakilan KPF, peneroka, kakitangan dan generasi baru Felda. Kita sambung kemudian, koi nak ke ladang. Pesan koi, biar kotor badan dengan tanah, jangan kotorkan hati dan makan rezeki kotor.
OLEH: BUDAK CHINI
Diterima melalui email Puterikarimun Indo
19 February 2012
WARGA FELDA…JOM LIHAT JANJI PR UNTUK WARGA FELDA (SIRI 1)
Dicatat Oleh
bloglist malaysia
Penanda
felda
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment