PUTRAJAYA - Beberapa pengerusi peringkat negeri Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita) sebulat suara melahirkan pendirian tidak bersetuju dengan Presidennya, Datuk Zaid Ibrahim yang semalam mengumumkan akan membubarkan parti itu.
Sehubungan itu, mereka juga mendesak agar Zaid mengundurkan diri secepat mungkin jika merasakan tidak lagi mampu menerajui parti.
Pengerusi Kedah, Zamir Ibrahim (GAMBAR) berkata, EGM tidak perlu diadakan dan jika Zaid mengakui tidak mampu menerajui parti, adalah lebih baik keluar dari parti secara terhormat kerana ada orang lain yang sukarela boleh menerajui parti.
"Mengapa beliau (Zaid) perlu merosakkan parti sedangkan selama ini kami di peringkat negeri menjaga parti dengan baik walaupun parti Kita ini kecil sahaja.
"Kami terkilan kerana keputusan ini dibuat oleh beliau hanya melalui media tanpa merujuk dahulu pimpinan negeri-negeri," katanya pada sidang media di sini, pagi ini.
Hadir sama, Pengerusi Kita Johor, Dr Mohd Zaid Mohd Yusof; Pengerusi Selangor, Azmi Selangor dan wakil wanita tunggal Selangor, Rahayu Wakiman.
Semalam, Zaid berkata, akan membubarkan parti itu untuk menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa mereka tidak memihak kepada pembangkang.
Menurut Zaid, Kita akan dibubarkan menerusi mesyuarat luar biasa (EGM) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya, Kita perlu dibubarkan, "untuk membuang mana-mana dan semua keraguan yang kita sesungguhnya menyokong pembangkang", khasnya ketika sesetengah anggotanya di Kedah dan Pulau Pinang dengan secara terbuka kritikal mengenai pakatan pembangkang Pas-DAP-PKR.
Beliau berkata, ideanya menubuhkan sebuah parti politik yang menyokong idea-idea yang sederhana dan progresif serta membawa kesopanan dan ketertiban kepada wacana politik telah gagal.
Zaid, bagaimanapun, tidak memberitahu bila EGM itu akan diadakan. Parti itu yang genap setahun bulan lepas, ditubuhkan selepas Zaid meninggalkan PKR ekoran dakwaan ada penyelewengan dalam pemilihan PKR.
Kita bahagian Melaka dibubarkan pada 11 Januari lalu dan 60 orang anggotanya memilih menyertai PKR
0 Komen :
Post a Comment