BlogList Malaysia

19 February 2012

Khabar-khabar angin pilihan raya

Februari sudah hampir tamat. Tidak ada pula tanda-tanda pilihan raya. Khabar angin terbaru ialah pilihan raya akan diadakan pada bulan Jun. Ia hanya khabar angin.Rumusan terkini dalam cakap-cakap orang ialah Barisan Nasional (BN) akan menang juga, walau dua pertiga dikhabar-khabar angin sukar untuk diperolehi.

Tetapi ada juga cakap-cakap bahawa Pakatan Rakyat mampu menguasai Putrajaya. Kerajaan BN akan tumbang. Anwar Ibrahim kata macam itu.

Adakah Anwar ini begitu yakin atau hanya gimik? Sebagai orang yang memerhati dari luar, memang sukar untuk diketahui.


Tetapi kalau diingat-ingat pilihan raya tahun 2008, Anwar tidak pula menyatakan keyakinan seumpama ini. Keyakinannya bahawa kerajaan BN akan tumbang hanya selepas pilihan raya.

Projek 16 September 2008 itu gagal dan banyaklah orang percaya ia hanya gimik. Tetapi tahun lalu, keluar maklumat daripada pelbagai sumber bahawa projek 16 September itu tidak gimik, ia hanya gagal.

Malah sebelum pilihan raya 2008, baik di kalangan BN mahupun para penentangnya, tidak ada siapa meramalkan bahawa dua pertiga kerusi gagal dicapai.

Ketika itu tidak ada siapa di kalangan pihak yang terlibat meramalkan bahawa BN akan terlepas Kedah, Perak dan Selangor. Walaupun kemenangan DAP di Pulau Pinang dapat diramalkan.

Kini menjelang pilihan raya umum ke-13, DAP diramalkan oleh kedua-dua belah pihak akan terus menguasai Pulau Pinang. Turut diramalkan ialah undi bukan Melayu menolak BN adalah kukuh.

Sungguhpun begitu BN tidak melepaskan saja undi bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat, ia bersungguh- sungguh berusaha untuk menarik mereka bagi menampung undi Melayu yang ada.

Dalam hal ini, secara keseluruhannya undi Melayu dapat diraih oleh BN. Walaupun undi Melayu dilihat berpecah tiga iaitu BN, Pakatan Rakyat dan Kuasa Ketiga tetapi undi Kuasa Ketiga adalah undi untuk BN juga.

Justeru hakikatnya, undi Melayu berpecah dua, satu untuk BN dan sekutunya iaitu Kuasa Ketiga, dan kedua ialah untuk Pakatan Rakyat.

Dalam keadaan ini, PAS dan KeADILan akan kehilangan banyak kerusi Melayu kepada Umno. Kuasa Ketiga akan menjadi pemecah undi Pakatan Rakyat.

Begitulah fikiran politik rakyat Malaysia yang dicorakkan oleh perkauman: Melayu, bukan Melayu, Cina, India, Sarawak, Sabah, Iban, Kadazan, Islam dan Kristian.

Walaupun Umno telah digerakkan ke tengah, dalam erti kata kesederhanaan hubungan antara kaum, soal Melayu terus diperingatkan dengan Kuasa Ketiga menjadi pihak barisan depan. BN dan Kuasa Ketiga itu adalah seumpama Barisan Bersatu yang kedua-duanya bekerjasama untuk mengekalkan sistem dan amalan pemerintahan yang ada.

Dalam hal ini, Pakatan Rakyat bukan saja mahu mengubah sistem dan amalan pemerintahan yang ada tetapi menolak pemikiran berbentuk perkauman.

Asas kepada perubahan ini ialah memperjuangkan pentadbiran yang bersih, cekap dan menumpukan perhatian pada perkhidmatan untuk kebajikan rakyat.

Tetapi BN dan Kuasa Ketiga terus berusaha supaya DAP dan PAS kekal pada cara dahulu, iaitu perkauman. DAP dengan perkauman Cina atas nama demokrasi dan PAS dengan perkauman Melayu atas nama Islam.

Paling utama ialah untuk mewujudkan sistem semak dan tumbang yang berkesan supaya ancaman penyelewengan dapat dikurangkan. Langkah pertama ialah menafikan pentadbiran BN supaya ada permulaan baru bagi negara ini.

http://www.wartautara.com


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas