BlogList Malaysia

23 February 2012

Hari Ini Isa Samad Halau Peneroka Keluar Dewan.. Lepas Ni Keluar Tanah Felda Pulak..

Kecoh: Isa halau ahli KPF keluar dewan

KUALA LUMPUR : Seorang perwakilan Koperasi Permodalan Felda (KPF) hari ini meluahkan rasa kecewa apabila dihalau keluar oleh Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad ketika satu sesi taklimat di Dewan Perdana Felda petang ini.

Sanggam a/l Raju (gambar) yang juga peneroka dari Felda Sendayan dihalau keluar dewan selepas bangkit menanyakan soalan kepada Isa ketika sesi soal jawab dibuka.

"Saya tanya dia (Isa), Tan Sri, saya bukan menghalang penyenaraian ke bursa saham ini, tetapi saya nakkan satu jaminan daripada Suruhanjaya Koperasi atau Koperasi Permodalan Felda tentang aset itu semua.


"Dia jelaskan dengan saya, jaminan daripada kerajaan, tak percaya dengan PM (Perdana Menteri) ke, PM jamin," kata Sanggam.

"Saya kata hari ini PM boleh jamin la sebab dia perdana menteri, tapi besok bila dia dah tak jadi perdana menteri nanti jadi dolak dalih.

"Lepastu dia (Isa) kata, kamu tak percaya PM kamu keluar dewan," ceritanya lagi ketika ditemui di luar dewan.

Difahamkan taklimat hari ini dibuat sebagai menggantikan Mesyuarat Agung Perwakilan Khas yang sepatutnya diadakan tetapi dibatalkan.

Ia kerana mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan melarang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) dibincangkan.

"Kemudian saya kata pada dia, saya ini sudah 50 tahun dalam felda, kamu (Isa) ini cap jari pun belum kering baru setahun lebih, patutnya kamu yang keluar dewan," katanya sambil menambah beliau kemudian bertindak keluar dari dewan itu.

Menurutnya, suasana ketika itu bertukar kecoh apabila ada peneroka turut marah kepada Isa.

Beberapa orang lain juga katanya turut bertindak keluar dewan bersamanya kerana tidak berpuas hati dengan sikap Isa itu.

Selain menuntut soal jaminan terhadap aset mereka, Sanggam dalam soalannya juga turut mempersoal tawaran bayaran durian runtuh yang dijanjikan kepada peneroka sekiranya FGVH disenaraikan kelak.

Beliau mempersoal tawaran itu yang disifatkannya tidak kekal lama berbanding aset tanah yang bakal dicagarkan.

Tambahnya lagi, pada sesi yang dikatakan 'taklimat' itu, Isa mengambil kesempatan itu memburuk-burukkan pakatan pembangkang.

Sebelum ini, Isa pernah mencetuskan kontroversi apabila didakwa mengeluarkan kata-kata menghina Ketua peneroka Felda, Shamsuddin Othman yang juga seorang ahli lembaga pengarah agensi itu.

Antara lain Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Pak Sam dihambur oleh Isa dengan ayat seperti “jika budak kecil, saya dah lempang”, “munafik”, “pembohong”, “penipu” dan “jika saya jumpa saya akan lutu dia”.

Kata-kata penghinaan itu didakwa dinyatakan Isa ketika memberi taklimat mengenai penyenaraian FGVH di Kuala Pilah bagi peneroka-peneroka Felda Wilayah Raja Alias pada 12 November tahun lalu.

http://razali01.blogspot.com/2012/02/kecoh-isa-halau-ahli-kpf-keluar-dewan.html



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas