KUALA LUMPUR, 6 Jan — Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan hari ini memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan sambil menyifatkan penganjur mahu gunakan langkah itu untuk menimbulkan “huru-hara dalam negara.”
Teks khutbah khas bertajuk “Cinta Negara” yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut mengatakan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan boleh melemahkan pemerintah dan perpaduan rakyat sehingga membawa tanggapan kepada dunia Malaysia tidak lagi berada dalam keadaan aman.
“Kita sedar hari ini sekali lagi pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan umat Islam di antaranya termasuklah melalui pembohongan fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun perpaduan sama ada melalui media massa dan alam siber.
“Mereka juga cuba meruntuhkan keamanan yang dikecapi selama ini, mereka mengadakan pelbagai helah dan cara termasuklah dengan mencetuskan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan,” kata teks khutbah yang dibacakan di semua masjid di Wilayah Persekutuan.
Kata khutbah itu lagi, penganjur melalui perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan mahu menyemai perasaan tidak puas hati kepada pemerintah negara yang kini dipimpin Datuk Seri Najib Razak.
“Mereka menghasut rakyat dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah dengan melaungkan slogan tertentu yang digambarkan sebagai gelombang rakyat yang membantah.
“Mereka bertopengkan atas dasar menuntut keadilan dan ketulusan, mengheret rakyat ke jalanan, menjadikannya sebagai perisai tetapi hakikatnya mempunyai agenda tersendiri untuk menghuru-hara negara, melemahkan pemerintah dan perpaduan rakyat yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia bahawa negara ini tidak lagi berada dalam keamanan,” katanya.
Tegas khutbah itu, umat Islam yang terlibat dalam perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan telah melakukan kesalahan besar dan menzalimi umat Islam lain dan keamanan negara.
“Percayalah bahawa demonstrasi jalanan yang mengamalkan kekerasaan dan kekacauan merupakan amalan yang dipolopori oleh golongan yang bersifat ekstrem yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar,” katanya.
Justeru kata khutbah itu, umat Islam yang mempunyai jati diri, cintakan agama, bangsa dan negara diseru agar tidak menyertai mana-mana perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan.
“Jangan sekali-kali kita terpedaya dengan godaan mereka yang ingin menghuru-harakan keamanan negara, jangan kita terlibat dengan agenda untuk merosakkan perpaduan umah.
“Janganlah kita menjadi seorang Muslim yang mencetuskan kekacauan, melakukan rusuhan, mengadu-domba sesama kita,” katanya.
Khutbah Jumaat ini muncul selepas Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada Selasa lalu mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan memastikan sejumlah 100,000 rakyat akan turut serta dalam perhimpunan aman bagi menunjukkan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Mahkamah Tinggi membuat keputusan Isnin ini berkaitan kes liwat keduanya.
Anwar, 64, dituduh telah melakukan liwat terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Damansara Heights pada Jun 2008, beberapa bulan sebelum kembali dan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Sekiranya disabitkan kesalahan, Anwar akan dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara, tetapi akan terlepas hukuman sebat kerana umurnya sudah melebihi 60 tahun.
“Cintailah keamanan yang wujud di negara kita ini dan peliharalah dengan sebaik mungkin. Marilah kita melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan bertimbang rasa dengan pihak lain.
“Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan,” kata khutbah Jumaat itu lagi.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/khutbah-jumaat-wp-ingatkan-umat-islam-tidak-sertai-demonstrasi-jalanan/
Kelantan: Mayat wanita bertudung tersangkut pada 'taut'
11 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment