BlogList Malaysia

13 January 2012

Kerajaan Perpaduan: Haji Hadi Perlu Jelaskan Dakwaan Alwi


DATUK Seri Abdul Hadi Awang perlu tampil menjelaskan kepada rakyat, benarkah beliau ada berjumpa dengan mantan Perdana Menteri Abdullah Badawi pada 2008 untuk berbincang tentang pembentukan kerajaan perpaduan, seperti yang didakwa bekas Setiausaha Politik Abdulah, Datuk Md. Alwi Che Mat.

Benarkah perbincangan yang didakwa Alwi itu wujud?

Sepengetahuan penulis, isu kerajaan perpaduan ini dimulakan oleh UMNO, bukan PAS. UMNO yang dikhabarkan beria-ia ingin mengadakan kerjasama tersebut dengan PAS, tapi dibantah sebahagian besar pemimpin utama PAS termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Tidak tahu pula penulis sudah ada perbincangan antara 2 Presiden parti diadakan ke arah itu?

Pendedahan ini, jika benar, akan memalukan seluruh warga PAS yang selama ini percaya UMNO yang terhegeh-hegeh ingin bekerjasama menubuhkan kerajaan perpaduan, bukan sebaliknya.

Penulis ingin ingatkan Haji Hadi, kesan kepada pendedahan ini amat besar walaupun isu ini telah agak lama berlalu. Tidak keterlaluan kalau penulis katakan, kesalahan ini amat besar, jauh lebih besar dari kesalahan yang membawa kepada pemecatan Hasan Ali dari PAS.

Kalau Hasan Ali diibaratkan membakar jambatan antara dirinya dan PAS, tindakan sedemikian (jika benar) oleh Haji Hadi, ibarat mahu membakar PAS itu sendiri!!

Seingat penulis, perbincangan sedemikian tidak pernah mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama, mahupun Muktamar Tahunan PAS sebagai antara 2 badan tertinggi selain Mursyidul Am. Persoalannya sekarang, siapa yang memberi kuasa kepada Haji Hadi untuk memulakan perbincangan tersebut?

Lebih penting, siapa lagi yang turut terlibat?

Seperti didakwa Alwi, perbincangan tersebut dijalankan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana. Tidak seperti kediaman biasa yang lain, sudah tentu ada rekod kemasukan yang boleh dirujuk untuk membuktikan pertemuan tersebut berlangsung atau tidaknya.



Ini yang penulis bimbangkan kerana dengan rekod itu, tidak mungkin Alwi berbohong sementara sukar juga untuk Haji Hadi mengelak dari mengakui perkara tersebut nanti.

Justeru, amat penting untuk Haji Hadi tampil dengan kisah sebenar kepada umum. Perkara ini perlu dijelaskan dengan segera kerana sikap membisu akan hanya menimbulkan lebih banyak prasangka kepada kepimpinan Haji Hadi sebagai Presiden PAS.

Penulis tidak mahu membayangkan kesannya kepada kerjasama PAS dengan parti komponen lain dalam Pakatan Rakyat, lebih lagi dalam keadaan sekarang semua pihak bersiap sedia menghadapi pilihanraya umum yang dijangka pada bila-bila masa.

Penulis juga tidak malu mengakui, jauh di sudut hati, penulis benar-benar berharap perkara ini tidak berlaku atas apa alasan sekalipun.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas