Umno Kedah diminta akur
SURAU KAH ATAU PEJABAT TAKAFUL..???
Umno Kedah diminta akur dengan keputusan Majlis Fatwa Negeri Kedah yang membenarkan tapak Madrasah Salihiah, Jalan Tambang Badak dibangunkan untuk projek pembangunan kompleks beli-belah, Aman Central.
Ketua Pemuda Pas Kawasan Alor Setar, Mohd Azam Awang berkata, Kerajaan Negeri memperoleh surat persetujuan bertulis daripada Majlis Fatwa, bukannya diputuskan oleh Kerajaan Negeri sewenang-wenangnya.
“Kenapa mahu menidakkan keputusan yang diputuskan oleh Majlis Fatwa, sedangkan Kerajaan Negeri sendiri merujuk kepada Majlis Fatwa dan Majlis Agama Islam Kedah (Maik) sebelum membangunkan semula projek terbengkalai itu,” katanya.
Menurutnya, walaupun status tapak madrasah itu adalah tanah wakaf, namun jika dibangunkan untuk perkara yang lebih baik, ianya dibenarkan.
“Kerajaan Negeri bukan ambil tanah itu percuma, sebaliknya dibayar pampasan RM1.48 juta kepada Maik dan RM36.9 juta kepada waris terlibat,” katanya.
Mohd Azam mengulas kenyataan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah kelmarin, yang membantah tindakan Kerajaan Pas Kedah membenarkan pengambilan tapak dan bangunan Madrasah Salihiah bagi dibangunkan kompleks beli-belah.
Ahmad Bashah mendakwa tindakan itu seolah membelakangkan masyarakat Islam, selain menjatuhkan kredibiliti Pas, yang sebelum ini lantang memperjuang syiar Islam.
Mohd Azam berkata, sekiranya Umno Kedah tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini, mereka boleh merujuk kepada Majlis Fatwa Negeri Kedah.
“Jika bantah, kenapa ketika Sidang Dun minggu lalu, tidak bangkitkan isu ini. Saya pasti Menteri Besar sudah bersedia dengan hujahnya untuk menangkis dakwaan tidak berasas membabitkan isu pengambilan tanah madrasah,” katanya.
Menurutnya, sepatutnya masyarakat Islam di negeri ini, khususnya bandar raya Alor Setar bersyukur dengan kemudahan surau baru yang disediakan sebagai ganti dalam kompleks, kerana mampu menampung 400 jemaah, berbanding jumlah jemaah sedia ada di madrasah itu.
“Pemaju juga bagi jaminan surau baru itu boleh diakses dari luar bangunan, tanpa perlu masuk ke dalam kompleks. Ini memudahkan orang ramai yang mahu tunaikan solat,” katanya.
Mohd Azam turut menyangkal dakwaan bangunan madrasah itu berusia lebih 100 tahun, kerana bangunan asal madrasah itu sudah dirobohkan pada 2007.
“Sebahagian bangunan madrasah itu disewa kepada syarikat lain untuk perniagaan, bukan diguna sepenuhnya untuk aktiviti agama. Malah penduduk berdekatan juga semakin berkurangan. Lebih elok jika Maik gunakan duit pampasan untuk bina surau di lokasi lain yang lebih memerlukan,” katanya.
Sumber - Kedahlanie
0 Komen :
Post a Comment