BlogList Malaysia

28 December 2011

TheWhistleBlower711 Perangkap Ciptaan Barisan Nasional


PENULIS sedikit gusar dengan keghairahan sesetengah pihak dalam Pakatan Rakyat memberi skop meluas kepada laman blog TheWistleBlower711 (TWB711).

Malah dikhabarkan juga, Pemuda PAS Kelantan sudah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lanjutan dari pendedahan yang dibuat TWB711.


Untuk makluman pembaca, laman blog tersebut baru-baru ini membuat beberapa pendedahan mengenai transaksi wang mencurigakan yang melibatkan seorang pemimpin UMNO, ahli perniagaan dan individu tertentu dari pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Memang, penulis akui pendedahan TWB711 mempunyai nilai berita yang hebat, tambahan pula bila pemimpin UMNO yang dinamakan dalam pendedahan tersebut, Datuk Dr. Awang Adek Husin (Timbalan Menteri Kewangan) telah membuat pengakuan di Parlimen ada menerima sejumlah wang yang didepositkan di dalam 3 akaun peribadinya tapi untuk tujuan untuk membiayai kerja-kerja kebajikan melibatkan rakyat di Bachok, Kelantan.

Bukan untuk kepentingan peribadinya seperti disangka banyak pihak.

Sementara isu sumbangan tersebut sedang dalam siasatan SPRM, perlu juga penulis menekankan di sini betapa pentingnya Pakatan Rakyat berhati-hati dalam mensensasikan pendedahan yang dibuat TWB711 ini.

Kecurigaan penulis adalah berdasarkan fakta bahawa blog ini baru sahaja dibuka pada November 2011 oleh seseorang yang tidak dikenali (Anonymous) – kononnya atas tujuan keselamatan diri dan pembekal maklumatnya.

Walaupun alasan itu mudah difahami tapi dalam masa yang sama, itu menjadikan blog ini sama seperti blog-blog ‘hantu’ (tidak diketahui siapa pemiliknya) lain yang bertebaran di Internet.

Blog-blog ‘hantu’ sedemikian tidak mempunyai merit yang membolehkan ‘pendedahannya’ dibawa ke mahkamah.

Keseluruhannya, blog ini telah menerbitkan sebanyak 9 posting (sehingga sekarang). Bagaimanapun, dari jumlah tersebut, hanya 3 posting sahaja yang benar-benar mempunyai nilai berita dan kesemuanya adalah berkaitan dengan individu-individu yang disebutkan di atas.

Persoalannya sekarang ialah, apa motif blog tersebut muncul secara tiba-tiba membuat pendedahan sedemikian dikala spekulasi mengenai tarikh pilihanraya umum ke-13 sedang hebat diperkatakan?

Waspada penulis bertambah bila blog tersebut tidak lagi dikemaskini sejak posting terakhir pada 15 Disember 2011 sehingga ke tarikh artikel ini ditulis.

Seolah-olahnya. pengendali blog sengaja membiarkan pendedahan dalam laman blognya disiasat pihak berkuasa dan menambah jumlah pengunjung dalam masa yang sama.

Penulis telah melakukan sedikit penyelidikan dan menghubungi beberapa orang yang diketahui rapat dengan salah seorang individu yang dinyatakan dalam blog TWB711.

Hasilnya, penulis mendapati bahawa pendedahan yang dibuat oleh TWB711 ini hanyalah ‘umpan’ untuk menarik perhatian ramai agar mengunjungi blog tersebut.

‘Umpan’ yang penulis maksudkan ialah, dengan menyiarkan berita sedemikian, pengendali blog mahu menanam persepsi di kalangan pembacanya bahawa penerimaan wang oleh ahli-ahli politik adalah satu kesalahan rasuah sedangkan hakikat yang sebenarnya – tidak ada peraturan-peraturan khusus di Malaysia yang mengatakan bahawa ahli politik tidak boleh menerima sumbangan!!

Kenyataan diatas disahkan sendiri oleh Presiden Transparency International Malaysia (TIM), Datuk Paul Low kepada MalaysiaKini.

Penulis juga dimaklumkan bahawa SELAIN salinan slip bank yang menunjukkan sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Awang Adek, salinan slip-slip bank yang lain adalah sebenarnya amat meragukan dan kemungkinan besar adalah palsu.

Ia sengaja dibuat begitu bagi memberi gambaran seolahnya semua dokumen yang didedahkan dalam blog ini adalah asli.

Dengan tanggapan sedemikian, tidak akan ada siapa yang akan mempersoalkan kesahihan slip-slip bank atau apa sahaja dokumen yang bakal didedahkan blog tersebut selepas ini.

Pada pendapat penulis, motif atau tujuan sebenar blog ini diwujudkan berkemungkinan adalah untuk mendedahkan ‘salah laku’ yang kononnya dilakukan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat di negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dengan menggunakan modus operandi yang sama – mengemukakan slip bayaran ke dalam akaun bank parti atau pemimpin parti politik dari kalangan komponen Pakatan Rakyat.

Tambah mengejutkan, penulis turut mendengar khabar bahawa blog ini juga akan mendedahkan beberapa dokumen ‘salah laku’ yang dikaitkan dengan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memerintah negeri tersebut dari 1999 hingga 2004!!

Penulis turut mendengar, pendedahan salah laku yang bakal dibuatkan blog tersebut akan turut melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain seperti Lim Guan Eng, Ronnie Liu dan Teresa Kok dari DAP. Selain itu, yang turut sama menerima kesan ialah Datuk Husam Musa, Datuk Mustapha Ali, Takiyuddin Hassan, Datuk Dr. Hassan Ali dari PAS serta Tan Sri Khalid Ibrahim, Azmin Ali dan Nurul Izzah dari PKR.

Justeru penulis sangat-sangat bimbang sekiranya Pakatan Rakyat memberikan perhatian dan kredebiliti yang lebih kepada laman web TWB711 sekarang, bagaimana kita boleh menangkis serangan sama bila pendedahan ke atas pemimpin Pakatan Rakyat yang disebutkan diatas benar-benar berlaku kelak?

Ditakuti, kegagalan kita menangani keadaan tersebut akan menjuruskan Pakatan Rakyat ke arah kekalahan yang lebih teruk.

Penulis turut mendengar berita bahawa blog ini sebenarnya turut didalangi oleh salah seorang bekas pegawai kanan polis yang pernah mencetuskan kontroversi di negara ini satu ketika dulu disamping beberapa individu lain.

Jika demikianlah sifatnya, penulis tidak faham kenapa kita perlu mempercayai maklumat yang didedahkan oleh blog ini.

Untuk maklumat pembaca, dari hasil kajian penulis, kalau ada pun satu kebenaran mengenai blog ini ialah, pertikaian sebenarnya yang cuba diketengahkan oleh pengendali blog ini hanyalah melibatkan 2 individu dan 2 individu sahaja (2 person and 2 person only). Individu-individu lain yang dinyatakan itu tidak ada langsung berkaitan dan seperti yang disebutkan di atas, salinan dokumen yang mengaitkan mereka itu adalah palsu.

Penulis rasanya tidak perlu menyatakan siapa individu-individu tersebut, cuma apa yang boleh penulis katakan, perhatikanlah apa-apa isu hangat melibatkan SPRM yang disiarkan dalam akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia dalam sehari dua ini.

Lebih penting, TWB711 tidak boleh disamakan dengan laman web Wikileaks yang diketahui siapa pengendali dibelakangnya, di samping kesahihan dokumen yang didedahkan juga tidak boleh dipertikaikan.

Sedangkan TWB711 tidak berani tampil ke depan mendedahkan identitinya dan mempertahankan kesahihan dokumen-dokumen tersebut dalam masa yang sama.

Secara peribadi, penulis tidak percaya langsung dengan kredebiliti blog ini. Pada pandangan penulis, hanya orang BODOH sahaja yang mudah terperangkap dengan mainan politik blog sebegini.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas