BlogList Malaysia

23 December 2011

"Sebelum berangan-angan menang, PAS kena banyak berubah,"

Selama ini saya cuba mengelak jika diundang ke majlis-majlis yang diadakan jauh di luar Kuala Lumpur. Keuzuran memang membataskan pergerakan. Stamina berbaki wajar dimanfaatkan untuk membereskan tugasan di pejabat.

Apa pun, menjelang PRU13, yang dianggap "ibu segala pilihan raya", realiti politik di lapangan harus dijengah. Situasi sebenar yang bergolak, terutama di kawasan tumpuan PAS, perlu didekati.

Harakah pula wajar menjadi medium ampuh untuk melaksanakan misi penting, sekurang-kurangnya sebagai penyebar informasi, dan berupaya menyanggah tohmahan serta propaganda songsang Umno-BN.


Justeru, apabila rakan sekerja, Suhaimi Embong, yang juga Pengarah Jabatan IT PAS Pusat, menyampaikan undangan untuk mengisi slot dalam pertemuan Jentera Penerangan PAS Terengganu bersama Ketua Pengarang Harakah di Markas Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, Kuala Ibai, 17 Oktober lalu, saya melihatnya sebagai kesempatan terbaik untuk menyelami pergolakan politik di sana.

PAS Terengganu pernah berkuasa pada 1959, tetapi usianya hanya setahun tiga bulan. (Tentunya ada keistimewaan tersendiri sehingga rakyat negeri itu, bersama jiran mereka di Kelantan, bersedia memilih PAS dalam piliohan raya pertama selepas negara merdeka). 40 tahun kemudian, pada 1999, peluang kedua diperolehi, dengan kemenangan lebih gemilang, atas nama Barisan Alternatif. Tempohnya juga tidak lama, sekadar sepenggal.

Ketika negara digemparkan dengan tsunami politik, Mac 2008, Terengganu agak terlindung. Memang penambahan kerusi Dun meningkat sekali ganda berbanding 2004, tetapi ia masih jauh daripada target untuk kembali memayungi pemerintahan. Ada pihak mendakwa rekod pentadbiran PAS semasa era 1999-2004 turut menyumbang kesan negatif kepada persepsi pengundi, selain senarai daftar pemilih yang meragukan.

Meskipun kunjungan saya Sabtu lalu lebih bertujuan mendapatkan respons terhadap kandungan dan persembahan Harakah (sememangnya banyak penambahbaikan perlu segera dilakukan), dan mengutip pandangan langsung tentang situasi politik mutakhir daripada aktivis akar umbi, saya sempat menekankan kepentingan politik negeri Darul Iman itu dalam konteks PAS, terutama pada kacamata masyarakat Melayu.

Dalam suasana PAS difitnah tidak lagi mewakili aspirasi kelompok Islam di negara ini, Terengganu yang mempunyai penduduk majoriti Melayu -- hatta melebihi komposisi di Kelantan -- harus menjadi negeri yang diperintah Parti Islam. "Politik adalah bilangan", justeru, kekuatan sesebuah parti itu diukur melalui kemenangannya dalam pilihan raya, bukan setakat idealisme perjuangan dan kesetiaan ahli-ahlinya.

"Dalam PRU13 nanti, kalaupun ditakdirkan kalah di negeri lain, PAS wajib pertahan Kelantan sebagai asas kekuatannya dalam masyarakat Melayu. Tetapi, tentunya PAS juga perlu kekal terajui Kedah dan melakukan come back di Terengganu," kata seorang pemerhati politik, yang kemudiannya saya ungkapkan kembali.

Saya cukup bimbang sekiranya Terengganu sekali lagi tertinggal dalam PRU13 nanti. Rata-rata berpandangan bahawa pengundi bukan Melayu, terutama Cina, akan tetap menyokong Pakatan, malah mungkin dalam skala lebih besar. Ini memberi kelebihan kepada pembangkang di Pantai Barat, khususnya di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan tidak mustahil di Negeri Sembilan, yang melorongkan laluan ke selatan.

("Saya yakin Pakatan boleh tebus kembali Perak, tetapi saya masih ragui sikap majoriti pengundi Melayu di negeri itu. Ya, Nizar Jamaluddin telah disepakati oleh PAS, DAP dan KeADILan sebagai MB Perak jika Pakatan mengulangi kemenangan, tetapi untuk menjadikan negeri itu stabil politiknya dan kebal daripada serangan tohmahan perkauman Umno, PAS harus memiliki jumlah kerusi yang berganda banyaknya berbanding 2008," pandangan seorang pensyarah sains politik).

Trend mengundi itu juga satu kelegaan buat PAS Kedah kerana bilangan pengundi bukan Melayunya agak signifikan, berbanding Terengganu. Sebelum ini, dengan kekuatan asas PAS-Umno yang agak seimbang dalam masyarakat Muslim, maka pengundi Cina dan India, termasuk Siam, menjadi faktor penentu. Semasa PRU13, kemenangan calon PAS lebih awal diketahui daripada kawasan di selatan Kedah, yang selama ini menjadi kawasan kelabu disebabkan kehadiran pengundi bukan Melayu.

Di atas kertas, jika pengundi Melayu tidak dapat diyakinkan oleh PAS untuk bersama-sama melakukan perubahan, tentunya Terengganu sekali lagi bernasib malang. Dan mungkin tohmahan bahawa masyarakat Islam telah meragui kewibawaan PAS sebagai komponen penting Pakatan agak sukar ditepis. Dengan itu, misi rakan-rakan di Terengganu menjadi lebih mencabar, sekali gus bertambah penting.

Seolah-olah, dari satu sisi, jatuh-bangun PAS di Terengganu bakal mempengaruhi persepsi rakyat seluruhnya terhadap kemampuan PAS. Asas sokongan masyarakat Melayu mesti dimantapkan lagi dan salah petunjuknya adalah di Terengganu. Dengan itu, saya cuba menyampaikan mesej bahawa cabaran jentera penerangan PAS Terengganu menjadi berlipat kali ganda pentingnya. Kemenangan di Terengganu mampu menjawab pelbagai keraguan dan

Selama ini Terengganu diakui berjaya membekalkan begitu ramai pemimpin PAS bertaraf nasional, untuk menduduki jawatan-jawatan strategik, termasuk Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Dewan Ulama Pusat, dan sebelum ini Ketua Muslimat Pusat dan Ketua Pemuda Pusat. Semasa memerintah 1999-2004, anggota Exco Kerajaan Negerinya juga lebih dikenali berbanding Kelantan.

Saya ditanya soalan paling sukar, tentang ramuan kemenangan Terengganu. Ada peserta yang mengimbau senario gemilang 1999, dengan mengaitkannya dengan kemelut dalaman Umno yang cukup parah di peringkat pusat dan begitu kritikal di Terengganu: Faktor Anwar Ibrahim dan Wan Mokhtar Ahmad.

Asas kekuatan PAS memang teruji di Terengganu walaupun diakui pada beberapa kawasan Umno lebih ke hadapan. 12 tahun lalu, Wan Mokhtar dan regunya dianggap terlalu lama memerintah. Ini mencetuskan rasa tidak senang di kalangan Umno sendiri. Kini, parti itu tidak sunyi daripada masalah dalaman. Sejak hari pertama lagi, wibawa MB Ahmad Said dipersoal secara terbuka.

Soalnya, apakah krisis atau pertembungan dalaman Umno itu memberikan bonus buat PAS? Atau, mampukah PAS memanfaatkan situasi meruncing itu untuk mendekatkan rakyat dengannya? Saya perhatikan ada peserta yang menggelengkan kepala dengan pertanyaan itu.

"Umno negeri mana yang berpecah teruk seperti di Terengganu ini? Tak ada, di sini, mereka boleh berbalah di depan publik termasuk semasa sidang Dun. Yang pertikai prestasi Ahmad Said adalah Adun Umno sendiri. Tapi, apakah kita diberi laluan mudah dengan percakaran sesama sendiri itu. Saya rasa tidak," kata seorang rakan seusai majlis.

Ada juga yang membangkitkan begitu banyak projek bermasalah di Terengganu seperti stadium runtuh, lebuh raya tidak siap dan sebagainya. "Apakah rakyat terkesan dengan gejala menjolok mata itu?" seorang aktivis penerangan parti.

Saya turut menimbulkan persoalan: "Maklumat dan data lebih mudah diakses, termasuk rakyat di ceruk-ceruk kampung. Masalahnya, apakah fakta yang mereka baca itu dapat mengubah persepsi terhadap kerajaan BN? Informasi yang sama, tetapi sampai kepada khalayak yang berbeda, mungkin menghasilkan impak yang berlainan."

"Kami lebih terasa dengan bebanan kos barangan keperluan harian. Harga di sini mungkin lebih mahal daripada Kuala Lumpur," keluhan seorang rakan lama yang berhijrah ke Kuala Terengganu. "Tetapi aku tak yakin rakyat dapat mengaitkannya dengan begitu banyak pembaziran dan rasuah BN. Hasil mahsul negeri banyak tapi rakyatnya tetap miskin," sambungnya.

Tiga hari sebelum ke KT, saya menelefon beberapa rakan untuk mendapatkan pandangan terhadap politik Terengganu. "Sebelum berangan-angan menang, PAS kena banyak berubah," kata seorang tenaga akademik terkemuka.

"Maaf, rekod memerintah PAS banyak kelemahannya. Pelikkan apabila rakyat tidak merindui untuk kembali ke zaman itu, zaman yang dilihat Islam didaulatkan dan banyak perubahan dibuat. Ahmad Said tidak perlukan slogan atau projek besar seperti zaman Idris Jusoh untuk raih sokongan. Tapi terus terang saya katakan politik Ahmad Said lagi berbisa, ia lebih merakyat, beri bantuan langsung kepada sasaran," tambahnya.

"Jadi, yang penting calon. You kena tekankan hal ini. Bukan saja soal strategi penting, tapi lebih mustahak perhubungan awam pemimpin parti. Dahulu, orang selalu kata ada jurang besar di antara PAS dengan rakyat, apatah lagi penyokong Umno, saya harap sekarang tidak lagi, contohilah Kelantan," katanya menyampaikan pesanan.


Semasa sesi soal jawab, peserta pertama menimbulkan masalah dalaman parti membabitkan kepemimpinan tertinggi yang terdedah kepada media. Kebetulan isu membabitkan Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharudin Mat Isa tengah bergelegak. Beliau jelas bimbang hal itu boleh merencatkan komitmen petugas di peringkat bawahan.

Persepsi negatif terhadap PAS juga disentuh. "Jangan pandang mudah dakwaan bodoh seperti DAP ganti PAS atau PAS penyokong komunis. Kita harus ada jawapan atau rasional yang memuaskan untuk semua persoalan, termasuk yang nampak bodoh," kata seorang daripadanya.

Sudah tentu Harakah dituntut lebih berketrampilan terutama menyediakan penjelasan dalam bentuk yang mudah terhadap isu-isu yang dikitar semula Umno. Maklumat semata-mata tidak mencukupi jika ia tidak berupaya menyanggah tohmahan berterusan.

"Memang dalam Harakah ada banyak info termasuk pendedahan siri skandal dan penyelewengan pemimpin Umno. Tetapi kadang-kadang ia berubah terlalu pantas tanpa sempat membekas kepada pembaca. Sedangkan isu-isu asas yang menjadi serangan Umno kepada kita tidak dapat dijawab dengan baik."

Persoalan seumpama itu menyedarkan saya bahawa banyak lagi yang perlu diperbaiki. Selagi gong belum dipalu, gendang perang belum dipukul, segalanya terbuka kepada usaha penambahbaikan, termasuk Harakah, apatah lagi persiapan menghadapi PRU13 yang lain

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas