BlogList Malaysia

24 December 2011

PRU13 - Kedah, Pulau Pinang, Selangor di Ambang Bahaya

BERDASARKAN maklumat dalaman mengenai perkembangan terkini adalah difahamkan yang PR berada di ambang kekalahan di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dalam PRU akan datang.

Justeru, sebagai penyokong setia PR, penulis merasakan tidak ada faedahnya untuk turut meniupkan semangat palsu agar rakyat terus dibuai retorik konon PR masih kuat sepertimana yang dimainkan oleh pemimpin tertentu kita.

Realitinya, terlihat jelas kini akan perubahan sikap pengundi terutama kaum Melayu dan India akibat tidak puas hati dengan DAP. Bukan rahsia bahawa amat sukar bagi kita membendung persepsi terhadap DAP sebagai chauvinis dan rasis kerana pemimpin DAP sendiri kerap kali ‘tersasul’ dan membuka pekung sendiri.


Walaupun ia adalah kesilapan individu dan bukan parti, tetapi rakyat tidak melihatnya begitu. Akibatnya, PAS dan PKR terpaksa melakukan ‘damage control’ bagi pihak DAP. Namun, kerosakan telah pun berlaku dan PR tidak mampu mengekang masalah kehilangan sokongan Melayu dan India kerana sikap beberapa pemimpin DAP.

Walaupun PR yakin mendapat sekurang-kurangnya 70% undi kaum Cina tetapi itu bukanlah jaminan bahawa PR akan dengan mudah dapat mengekalkan negeri-negeri yang telah ditawan di sebalik keghairahan ingin menawan negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan, Johor dan Perlis.

PR perlu sedar bahawa BN telah melancarkan strategi yang begitu halus terutamanya untuk menawan kembali Pulau Pinang dan Selangor dengan majoriti mudah iaitu dengan perbezaan hanya 2 kerusi.

BN juga begitu agresif memindahkan pengundi ke kawasan tertentu bagi membolehkan mereka menguasai beberapa kerusi DUN yang diwakili oleh MCA dan Gerakan.

BN nampaknya cukup sedar bahawa tanpa pemindahan pengundi mereka tidak mungkin akan menang di kawasan majoriti bukan Melayu dan itulah yang mereka lakukan di Pulau Pinang apabila MCA dan Gerakan masing-masing hanya mensasarkan kemenangan 3 kerusi sahaja manakala UMNO mensasarkan 15 kerusi bagi membolehkan BN membentuk kerajaan.

Di Kedah pula, UMNO begitu bersemangat dan yakin akan menang besar apabila tersebar cerita bahawa Dato’ Mukhriz Mahathir akan dinobatkan sebagai Menteri Besar yang baru. Tun Mahathir juga dikatakan akan ‘all out’ membantu BN pada PRU nanti bagi memastikan kemenangan di Kedah. Ini pastinya akan menjadi faktor peningkatan sokongan secara drastik kepada BN.

Aktiviti BN di 3 negeri ini boleh dilihat dengan jelas, namun apa yang berlaku di Kelantan juga tidak boleh dipandang sebelah mata. Dikhabarkan BN hanya memerlukan 5 kerusi DUN bagi mendapat majoriti mudah dan melihat dari perkembangan di Kelantan akhir-akhir ini, perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

Pastinya ramai yang menyangkal dan tidak mahu menerima pendapat dari pemerhatian penulis. Itu adalah hak masing-masing. Namun, adalah lebih elok jika PR tidak terus leka dan bertindak segera menangani perkara ini supaya tidak berputih mata gara-gara syok sendiri.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas