BlogList Malaysia

02 December 2011

Pas Saman PM Najib

RUU Perhimpunan Aman: PAS saman PM hari ini

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 pada persidangan Dewan Rakyat 24 November lalu memaksa PAS mengambil tindakan saman terhadap beliau dan Kerajaan Malaysia hari ini.

Saman tersebut difailkan bersama oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 10.00 pagi tadi.

Menurut Mohamad Sabu, tindakan saman itu difailkan menerusi syarikat guaman Hanipa Maidin & Co dengan turut ditemani peguam terbabit, Mohd Hanipa Maidin yang juga peguam PAS, dengan menamakan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, Pahang sebagai responden pertama dan Kerajaan Malaysia responden kedua.


Katanya, tujuan saman itu difailkan adalah untuk melakukan semakan kehakiman terhadap rang undang-undang tersebut dan bagi mendapatkan 3 perintah dari mahkamah.

"Pertama adalah perintah deklarasi bahawa responden-responden telah bertindak melebihi kuasa mereka dan telah menyalahgunakan kuasa mereka apabila memperkenalkan dan membentangkan rang undang itu di Parlimen bagi menjadikannya sebagai undang-undang atau akta, meskipun bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) dan 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Perintah kedua, menurut beliau, bagi melarang responden-responden daripada terus bertindak melebihi kuasa mereka dan menyalahgunakan kuasa mereka dengan melarang responden-responden meneruskan segala proses bagi menjadikan rang undang-undang itu sebagai akta yang boleh dikuatkuasakan.

"Ketiga, secara alternatif, perintah mandamus bagi memaksa responden-responden mengambil langkah-langkah yang perlu dan wajar untuk sama ada menarik balik semula rang undang-undang itu atau membuat pindaan-pindaan yang perlu agar selaras dengan peruntikan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Mohd Hanipa Maidin berkata, meskipun rang undang-undang tersebut telah dipinda pada persidangan Dewan Rakyat, hakikatnya, Perdana Menteri dan Kerajaan malaysia tetap telah bertindak melampaui kuasanya kerana memperkenalkan rang undang-undang itu yang bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) yang dibaca bersama-sama Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

"Ini menjadikan rang undang-undang tersebut, sekiranya berjaya dijadikan Akta yang berkuatkuasa, adalah terbatal dan tidak saj di bawah Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

Responden-responden, katanya, hanya mempunyai kuasa untuk membentang rang undang-undang yang selaras dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tetapi responden-responden telah bertindak melebihi kuasanya kerana membentangkan rang undang-undang tersebut yang bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) yang dibaca bersama-sama Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.

HarakahDaily

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas