Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menyiasat projek lembu kontroversi Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan pecah amanah jenayah oleh pekhidmat awam, kata NGO Jingga 13.
Penyelaras NGO itu Fariz Musa (dua dari kiri)berkata, mereka dimaklumkan, ini kerana kes pembelian kondominium RM9.8 juta One Menerung oleh NFC bukan bawah kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang menerima aduan mereka sebelum ini.
"Jingga 13 meminta agar pihak PDRM mengambil sikap telus dan profesional serta segera menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kes berprofil tinggi ini kerana ia melibatkan wang rakyat yang telah dipecah amanah tanpa rasa bersalah; dan bertanggungjawab melakukan jenayah dan mengkhianati rakyat Malaysia," kata Fariz.
NGO yang dikaitkan dengan PKR itu pada 11 November membuat laporan pada SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan pinjaman untuk membeli kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur.
Ia ekoran dakwaan PKR bahawa dana daripada pinjaman NFC kepada National Meat and Livestocks Corporations Sdn Bhd (NLMC) digunakan untuk pembelian seunit projek berprestij itu.
'Wanita Umno membisu'
Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution mendakwa, tindakan syarikat milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita Datuk Shahrizat Abdul Jalil itu merupakan penyelewengan dan bertentangan dengan tujuan pinjaman wang kepada NFC.
Menurut seksyen itu, penjawat awam atau agen yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, dan dengan hukuman sebatan dan denda.
Dalam kenyataannya hari ini, Fariz juga mengucapkan terima kasih atas komitmen SPRM yang bertindak profesional terhadap aduan pihaknya.
Sementara itu, Setiausaha Jingga 13 Sharifuddin Shafi Muhammad pula mendesak Shahrizat meletakkan jawatan kerana penglibatan keluarganya didakwa "mendatangkan prasangka yang berlarutan".
Malah, katanya, "pendedahan lengkap" beberapa pemimpin PKR gagal dijawab dengan fakta oleh menteri yang didakwa bersikap berdolak dalik.
"Jingga 13 juga benar-benar amat hairan sehingga kini seluruh ahli Wanita Umno terus membisu dengan skandal NFC yang melibatkan ketuanya," katanya.
0 Komen :
Post a Comment