KUALA LUMPUR, 24 Nov ― Pemuda PAS pusat mendakwa kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sebagai angkuh apabila memberi jaminan untuk membekalkan air bersih kepada rakyat di negeri Kelantan jika diberi mandat dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.
Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata pandangan Muhyiddin itu satu kenyataan politik berbaur ugutan kepada rakyat Kelantan.
Riduan menambah Pemuda PAS berpandangan bahawa kenyataan Muhyiddin menunjukkan kesombongan dan keangkuhannya sebagai pemimpin negara kerana meletakkan syarat tertentu terlebih dahulu kepada rakyat Kelantan bagi menyelesaikan masalah mereka.
“Ia juga seperti suatu ugutan agar rakyat Kelantan mengundi Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13, barulah masalah mereka dapat diselesaikan. Manakala jika rakyat Kelantan terus mengundi PAS, kerajaan persekutuan akan membiarkan sahaja Kelantan terus dengan masalah ini,” kata beliau dipetik Harakahdaily hari ini.
Tambah Riduan, Muhyiddin mungkin telah melupai bahawa jawatan beliau selaku Timbalan Perdana Menteri adalah amanah rakyat yang perlu ditunaikan.
“Sebagai pemimpin negara, beliau bertanggungjawab menyelesaikan segala masalah dan keperluan rakyat tanpa mengira di mana mereka berada.
“Seluruh rakyat di negara ini, sama ada Kelantan atau lain-lain lagi tertakluk di bawah pemerintahan beliau dan beliau wajib menunaikan amanah ini tanpa mengira latar belakang mereka,” ujarnya lagi.
Lebih dari itu, katanya masalah kebersihan air adalah masalah negara yang juga dialami oleh negeri-negeri yang lain, bukan setakat Kelantan.
Menurutnya, rakyat umumnya sudah mengerti bahawa air yang mengalir keluar dari paip di rumah, tidak selamat unutk diminum begitu sahaja melainkan perlu dimasak terlebih dahulu.
Malah, ujarnya penduduk di ibu kota juga menghadapi masalah yang sama, dengan kadar kebersihan air yang amat diragui.
Oleh kerana itu, katanya mesin pemprosesan dan penyulingan air laris di jual di merata-rata rumah di negara ini.
Beliau menambah, ia adalah masalah nasional yang perlu diselesaikan secara bijak dan berhikmah tanpa sentimen tertentu.
Justeru itu, kata Riduan, Pemuda PAS berpendapat bahawa jika Muhyiddin benar-benar ikhlas mahu menyelesaikan masalah air di Kelantan, tidak perlu tunggu mandat dari rakyat dalam pilihan raya umum ke 13.
“Sebaiknya, masalah air di Kelantan boleh diselesaikan segera kerana beliau adalah Timbalan Perdana Menteri di Malaysia, dan Kelantan adalah salah satu negeri di bawah pentadbiran negara ini,” katanya.
Gila! ‘Trend’ lompat depan kereta makin menjadi
6 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment