Pemeriksaan ketat: Orang awam, media dilarang masuk
Beberapa orang pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan ketat di pintu gerbang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) manakala orang awam dihalang daripada memasuki bangunan tersebut.
Menurut seorang pengawal keselamatan, selain orang awam, pihak media juga tidak dibenarkan masuk.
"Hanya sidang media jam 12 tengahari sahaja dibenarkan, selepas itu orang awam tak dibenarkan masuk, nak sembahyang Jumaat pun tak boleh.
"Kami terima arahan tak benarkan orang awam dan media masuk hari ini,” kata pengawal keselamatan itu.
Tindakan itu dipercayai bagi membantutkan usaha kumpulan mahasiswa yang mahu berdemonstrasi terhadap UIA yang menggantung tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.
Semalam, pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syukri Abd Razab berkata, dijangkakan hampir 1,500 mahasiswa dan anak muda akan hadir bagi "mempertahankan kebebasan akademik".
Mereka menganggap tindakan UIA itu membelakangkan prinsip 'kebebasan akademik'.
Semalam UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.
Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).
Beliau berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.
0 Komen :
Post a Comment