KUALA LUMPUR, 20 Okt — Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) menggesa pihak berkuasa menghormati kebebasan akademik dan tidak mengenakan tekanan dalam pelbagai cara — terbaru isu tindakan ke atas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari sejak minggu lalu.
Setiausaha Agung Gerak Rosli Mahat berkata, pihaknya terkilan atas celaan berbentuk peribadi yang telah dikenakan terhadap Aziz (gambar) yang baru-baru ini mengulas isu berkaitan titah Sultan Selangor ekoran keputusan baginda berkenaan Gereja Methodist Damansara Utama dan pemeriksaan ke atasnya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) awal Ogos lalu.
Rosli berkata, Aziz merupakan seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau.
“Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya menghujah balas secara rasional dan profesional tanpa sebarang ugutan atau celaan pribadi,” kara Rosli dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
“Sebagai seorang ahli akademik, Prof Abdul Aziz berhak menyatakan pendapat seperti yang telah dilakukannya. Ini adalah sebahagian dari kebebasan akademik yang dipunyai oleh setiap ahli akademik.
“Mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik ini,” kata Rosli lagi.
Sambil menekankan kebebasan itu diperuntukakn oleh syor Unesco, Rosli berkata, Gerak menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati kebebasan akademik.
“Semua pihak hendaklah akur terhadap syor tersebut pada bila-bila masa. Keprihatinan pihak-pihak yang berkepentingan dalam perkara ini amat perlu untuk memartabatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa dengan universiti-universitinya bertaraf dunia,” katanya lagi.
Laporan media terbaru menyebut UIA telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Aziz. Surat tunjuk sebab itu dikeluarkan petang semalam.
Semalam, polis memulakan siasatan ke atas Aziz mengikut Akta Hasutan berikutan laporan Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.
Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.
Isnin lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyoal siasat Aziz.
Aziz sebelum ini dipetik berkata tindakan Sultan Selangor campur tangan dalam isu pemeriksaan gereja terbabit pada 3 Ogos lalu bukan tindakan lazim.
Menurutnya, sebagai ketua agama Islam negeri, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.
Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz sehari kemudian menjelaskan bahawa Akta Hasutan memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu asalkan mereka tidak menuntut pemansuhan institusi itu.
Tidak puas hati dengan kenyataan itu, Ezam dan beberapa aktivis pertubuhan bukan kerajaan tampil membuat laporan serentak dengan mendakwa Aziz berlaku biadap dan derhaka kepada institusi raja Melayu.
Sultan Selangor sebelum itu bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri itu.
Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan hasil siasatan Jais tetapi ia tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.
Lubang benam ‘telan’ jemaah solat Jumaat
46 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment