PAS Selangor mendakwa mempunyai bukti wujudnya pergerakan bas-bas yang membawa pendatang asing - yang didakwanya untuk diberi kad pengenalan dan didaftar sebagai pengundi - dikesan berlaku hampir setiap hari.
Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman berkata mereka mendapat maklumat berdasarkan risikan jentera mereka termasuk mengekori bas terbabit dan mengambil gambar sebagai bukti.
"Kita memang ada bukti sahih, kita ada sumber dalaman yang mengesahkan ia melibatkan 10 hingga 15 buah bas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
"(Modus Operandi) itu dibuat secara terang-terangan membawa (pendatang asing) dengan bas," katanya sambil menambah pendatang berkumpul di beberapa lokasi antaranya Paya Jaras, Hentian Sungai Buloh dan Hentian Serdang.
Bagaimanapun, Khairuddin berkata pihaknya kekurangan petugas dan hanya dapat memantau pergerakan bas tersebut sebelum ianya menuju ke lokasi - antaranya dari Paya Jaras ke Janda Baik dan Putrajaya.
Khairuddin mendakwa, ianya berlaku sejak dua atau tiga minggu yang lalu.
Khairuddin mengulas tindakan Pemuda PAS semalam yang bertindak mengepung 240 pendatang asing di sebuah pusat peranginan yang didakwa diberikan kad pengenalan dan didaftarkan sebagai pemilih.
Sebelum ini, beliau juga mendedahkan pihaknya pernah menyerbu dua buah rumah berasingan di Paya Jaras di parlimen Subang dalam satu operasi Februari lalu bagi menangkap kumpulan sindiket yang didakwa mengedar kad pengenalan kepada warga asing.
Khairuddin mendakwa kegiatan itu "rancak" menjelang akhir September dan didakwanya akan berterusan hingga Disember tahun ini dengan andaian pilihan raya umum mungkin diadakan pada Februari atau Mac tahun depan.
Beliau mendakwa wujudnya 'tangan hantu' yang melindungi pihak yang membawa pendatang asing bagi tujuan tersebut, tanpa mahu merujuk kepada mana-mana pihak.
Khairuddin berkata, sehingga ini pihaknya berjaya menjejaki dan membuat serbuan di tiga lokasi berlainan sejak awal tahun lalu - iaitu Salak Tinggi (Sepang), Paya Jaras (Subang) dan terbaru di Kampung Bukit Dugang dekat Putrajaya semalam.
Pihaknya juga telah membuat laporan polis, dan setakat ini masih belum mendapat apa-apa maklum balas, kata Khairuddin.
13 October 2011
Beri IC, PAS dakwa ada bukti
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment