BlogList Malaysia

03 September 2011

Mat Sabu pertahan kenyataan ‘Mat Indera adalah pejuang’

KOTA BHARU - Di sebalik kecaman dan kritikan bertali arus, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu tetap pertahankan kenyataannya bahawa lelaki yang didakwa bersekongkol dengan Parti Komunis Malaya (PKM), Mohamad Indera adalah hero sebenar.

Pada sidang media pertamanya selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi itu, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendakwa sejarah telah membuktikan Mohamad Indera adalah individu yang menentang British yang menjajah negara.

Justeru, beliau tidak akan menarik balik kenyataannya mahupun memohon maaf kepada sesiapa, sebaliknya akan bertemu dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh bagi menerangkan pendirian beliau tersebut.


“Muhamad Indera adalah pejuang, pihak polis jangan panik. Sebelum 31 Ogos (semasa serangan dibuat) waktu itu kerajaan adalah British. Selepas 31 Ogos baru kerajaan Malaya merdeka.

“Ini fakta, jangan kita menganggap selepas 31 Ogos kita ada kerajaan yang sama. Tidak, bendera lain, lagu lain. Jadi kita perlu beza,” katanya kepada pemberita di Pejabat Pas Kelantan di sini, semalam.

Kenyataan media pemimpin nombor dua Pas itu dibuat selepas menerima kritikan keras daripada pelbagai pihak susulan kenyataan kontroversi yang dibuatnya dalam ceramah di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu.

Mohamad Sabu berkata, tujuan beliau mendedahkan perkara tersebut bagi membetulkan sejarah yang dipesongkan Umno dengan menutup tokoh-tokoh yang turut memperjuangkan kemerdekaan negara.

Katanya, beliau tidak bermasalah untuk mengakui perjuangan Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman dalam mendapatkan kemerdekaan tetapi nama seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Tok Janggut, Mat Kilau dan ramai lagi perlu diiktiraf.

“Ya kalau mereka nak senaraikan (Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman) boleh, tetapi tokoh lain tak ada langsung. Tok Janggut jauh sekali. Rakyat semakin celik dan merasai perayaan merdeka seolah-olah tidak ada kena mengena dengan rakyat,” katanya.

Ditanya adakah mereka yang berjuang dan meninggal dunia semasa tragedi Bukit Kepong tidak berjasa kepada negara, Mat Sabu berkata, terserah kepada penilaian individu untuk membuat kesimpulan kerana semasa kejadian Balai Polis itu ditadbir oleh British.

“Sebab di situ ada bendera Union Jack, tafsiran saya mereka bekerja dengan British dan polis bila-bila pun terkorban, di korban dan berkorban kerana mereka mengikut dasar pemerintah pada waktu itu. Saya simpati, mungkin mereka saudara kita, kita simpati.

“Tetapi sejauh mana kita simpati kepada tragedi Memali, kerakusan pemerintah menyebabkan polis terkorban, yang tidak terkorban adalah penguasa itu, yang menguasai pasukan keselamatan,” katanya.

Merujuk kepada kenyataan Profesor Emiritus Tan Sri Dr Koo Kay Kim yang mempelawa beliau berjumpa dengan beliau bagi mendapatkan bahan sejarah khususnya tragedi Bukit Kepong, Mat Sabu berkata, beliau menghormati tokoh sejarah itu tetapi ada lagi individu yang lebih pakar.

“Kita sedia bertemu sesiapa sahaja. Bukan untuk berdebat, lebih sedap berbincang dalam soal kemerdekaan dan sejarah, sebenarnya banyak khazanah tetapi banyak berada di Eropah bukan di negara kita,” katanya.

Sinar Harian

Berkaitan ‘Mat Indera adalah pejuang’


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas