Umno halang Mohd Sabu jumpa mangsa Bukit Kepong
KUALA LUMPUR, 6 Sept: Pemimpin Umno tempatan yang tidak berpuas hati dengan kehadiran Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di rumah mangsa tragedi Bukit Kepong.
“Mereka menghalang kami untuk menziarahi Puan Jamilah,” kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dalam satu kenyataan.
Jelasnya, bagi mengelak suasana yang tidak selesa berlaku, beliau telah berbincang dengan Mohamad Sabu untuk keluar daripada kawasan tersebut.
Berikut penjelasan penuh Suhaizan.
Pada 4 September 2011 (Ahad), saya telah memohon Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pulai, Johor, Saudara Zaba Bin Ibrahim untuk berjumpa Puan Jamilah Binti Abu Bakar, mangsa Peristiwa Bukit Kepong di rumahnya di Skudai Kanan.
Dalam pertemuan tersebut dia (Zaba) telah mendapat persetujuan untuk mengadakan pertemuan dengan Puan Jamilah pada 5 September 2011 dengan disertai bersama oleh Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu sebaik sahaja sidang akhbar di Johor Bahru.
Zaba juga telah mendapat pengesahan dari Puan Jamilah bahawa Mat Indera telah menghalang pihak pemberontak membunuhnya semasa peritiwa Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 yang lalu.
Tujuan utama pertemuan semalam adalah:
1. Untuk mengeratkan silaturahim sempena bulan Syawal yang mulia
2. PAS mahu menawarkan khidmat guaman kepada Puan Jamilah bagi menuntut ganti rugi dari Kerajaan British atas kematian ibu dan adiknya
3. Untuk mendapat maklumat lanjut berhubung kejadian Bukit Kepong.
Zaba telah membuat panggilan terakhir sekitar jam 2 petang semalam untuk mengesahkan kehadirannya di rumah Puan Jamilah manakala saya pula telah membawa Mat Sabu ke rumah Puan Jamilah dengan menggunakan kenderaan saya sendiri.
Setibanya saya di lorong masuk rumah Puan Jamilah kelihatan lebih kurang 10 hingga 20 orang sedang menunggu. Salah seorang daripada mereka telah memberi isyarat menghalau perjalanan kami di lorong tersebut.
Zaba mengesahkan kepada saya bahawa mereka adalah pemimpin Umno tempatan di situ yang tidak berpuas hati dengan kehadiran Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu di rumah Puan Jamilah. Mereka menghalang kami untuk menziarahi Puan Jamilah.
Bagi mengelak suasana yang tidak selesa berlaku, saya telah berbincang dengan Mat Sabu untuk keluar daripada kawasan tersebut. Lagipun masa sudah agak lewat kerana Mat Sabu juga mempunyai jadual yang agak ketat di sebelah petang hari tersebut.
Saya bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Johor merasa cukup kecewa dengan halangan yang dibuat oleh pemimpin dan ahli-ahli Umno di Skudai Kanan dan meminta mereka membaca buku ‘Pengukir Nama Johor’ tulisan Ismail Adnan bertajuk ‘Mat Indera’ pada muka surat 109.
Buku ini diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Editor buku ini adalah Prof Datuk Abu Bakar Hamid dan prakatanya ditulis sendiri oleh Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor.
Niat PAS yang baik ini telah disambut dengan halangan ala-ala penjajah. Saya tidak sangka setelah 54 tahun Malaysia merdeka dan dan anak-anak muda juga sudah banyak terdedah kepada perkembangan isu-isu semasa melalui saluran media baru, rupa-rupanya masih ada lagi pemimpin Umno yang bertindak seolah-olah di zaman penjajah.
Saya mendesak Menteri Besar Johor yang telah menjadi penaung buku ‘Pengukir Nama Johor’ agar menasihatkan pemimpin Umno Skudai Kanan agar lebih rasional dalam menghadapi isu Mat Indera ini.
HarakahDaily
0 Komen :
Post a Comment