BlogList Malaysia

08 September 2011

Kajian ilmiah pelajar UM rumus Mat Indera bukan komunis

KUALA LUMPUR, 8 Sept — PAS pusat meneruskan usaha membawa bukti mengenai Ahmad Indera, yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong dengan menegaskan kajian ilmiah seorang pelajar universiti menunjukkan beliau bukan seorang ahli komunis.

Kajian itu dihasilkan oleh Ayub @ Uiop Kassim dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya pada 1973.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Ahmad Zuhdi Marzuki berkata, kajian bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem” itu adalah kajian untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera.

Ahmad Zuhdi berkata, kajian itu bertujuan meneliti keterlibatan golongan elit agama di Muar dalam perjuangan gerila bersenjata untuk menentang penjajah dengan tumpuan khusus terhadap Ahmad yang turut dikenali sebagai “Mat Indera” dan peristiwa berdarah Bukit Kepong.

Dalam kenyataan terbaru semalam, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman merumuskan Mat Indera bukan seorang pejuang kemerdekaan, tetapi ahli PKM.

Ahmad Zuhdi menambah, meskipun kajian tersebut dilakukan di peringkat ijazah pertama, pengkaji telah berjaya melakukan wawancara dengan mereka yang terlibat secara langsung dengan peristiwa tersebut termasuklah Nawi Idrus iaitu Ketua Pengawal Kampung dan rakan-rakan Mat Indera yang menyertainya masuk ke hutan.

“Kaedah wawancara ini adalah yang paling sesuai bagi mendapat maklumat sebenar disebabkan kebanyakan maklumat rasmi berkaitan dengan peristiwa Bukit Kepong ini disediakan oleh penjajah British melalui perisikan mereka.

“Setakat kajian Pusat Penyelidikan PAS mungkin inilah satu-satunya kajian ilmiah yang paling awal tentang Mat Indera,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kajian tersebut, kata Ahmad Zuhdi, pengkaji telah menyimpulkan Mat Indera sebagai golongan elit agama iaitu “Islam pada agamanya, demokrasi pada prinsipnya, nasionalis pada fahamannya, radikal dalam perjuangannya dan militant mengikut tindakannya.”

Selain itu, tambah beliau Ayub Kassim juga pada mukasurat 71 menyimpulkan bahawa Mat Indera adalah seorang nasionalis bukannya komunis, yang bergerila bersama komunis.

“Beliau menyatakan perumpaan Mat Indera sebagai nasionalis dengan gerombolan komunis seumpamanya tidak bercampur antara air dan minyak dalam satu bekas,” katanya.

Katanya lagi, kajian ilmiah itu juga menyebut bahawa pendirian agama Mat Indera banyak dipengaruhi oleh dua orang gurunya iaitu Ibrahim Jubah dan Muhammad Yassin Muhammad iaitu bapa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin.

Kedua-dua guru Mat Indera itu, tambahnya dikatakan seorang yang kritis terhadap perkembangan politik ketika itu.

Malah katanya, menurut pengkaji lagi pada muka surat 30, Muhammad Yassin begitu kritis dengan perkembangan politik tanah air, dan kalaulah ucapan-ucapannya dilakukan di atas pentas politik nescaya ia akan dilihat berunsurkan subversif.

Menurut kajian ini juga, Mat Indera pernah dilantik sebagai Ketua Cucuk Tanam anjuran Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

“Fakta ini sekali gus menafikan dakwaan banyak pihak yang bersumberkan Memoir Abdullah CD bahawa Mat Indera telah menjadi komunis sejak Perang Dunia Kedua lagi,” ujarnya.

Menurutnya, semasa Perang Dunia Kedua ini komunis mengambil sikap berperang dengan Jepun melalui pertubuhan MPAJA sedangkan golongan nasionalis Melayu terutama ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) mengambil sikap yang lebih lunak dengan Jepun.

Katanya, kecenderungan Mat Indera ini jelas bertentangan dengan dakwaan Abdullah C. D. dalam memoirnya.

Berdasarkan kajian ilmiah tersebut, katanya, Pusat Penyelidikan PAS berpandangan Mat Indera bukanlah komunis tetapi seorang nasionalis radikal.

Ini, jelasnya sebagaimana yang pernah dinukilkan oleh veteran Umno sendiri, Tan Sri Abdul Samad Idris dalam bukunya “25 Tahun Merdeka” muka surat 357-358: “Kita melihat beberapa orang Melayu terlibat dalam gerakan Komunis selepas pengisytiharan Dharurat tahun 1948. Adakah mereka ini komunis atau didorong oleh semangat nasionalisme yang meluap-luap? Perkara inilah menjadi teka-teki kepada kebanyakan pengkaji sejarah kita.

“Kalau kita mahu menganggap mereka berfahaman komunis disebabkan terlibat secara langsung dalam pemberontakan bersenjata komunis, bagaimanakah kita mahu memberi penilaian kepada tokoh-tokoh seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan To’ Gajah Imam Rasu? Atau kepada perjuangan Datuk Dol Said di Naning, Datuk Maharajalela di Pasir Salak, To’ Janggut di Pasir Puteh dan Rosli Dhobi di Sarawak? Mereka juga melakukan pemberontakan bersenjata menentang Inggeris yang menjadi kerajaan di Tanah Melayu.”

Justeru, tegas Ahmad Zuhdi, Pusat Penyelidikan PAS melihat kenyataan Samad itu hampir sama dengan intipati ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dalam ceramahnya.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas