KUALA LUMPUR, 10 Sept — PAS mencabar Majlis Profesor Negara (MPN) terutama jurucakapnya Profesor Zainal Kling agar menulis artikel atau buku ilmiah bagi mengemukakan cadangannya bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan pegawai yang berkhidmat semasa zaman kependudukan British tidak boleh disebut pegawai British.
“Demikianlah sepatutnya seseorang ahli akademik apalagi yang bergelar profesor mengemukakan sesuatu pandangan supaya pandangannya dapat dinilai dan dibahaskan oleh ahli-ahli lain dalam komuniti akademik. Mengeluarkan sesuatu cadangan intelek atau tesis tidak memadai hanya melalui sehelai dua muka surat kenyataan akhbar,” kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Ahmad Zuhdi Marzuki.
Malah kata beliau, mengemukakan cadangan intelek melalui cara itu bukanlah kaedah ahli-ahli akademik, sebaliknya cara orang awam termasuklah ahli-ahli politik.
“Sekiranya sesuatu pandangan ahli akademik termasuklah profesor dikemukakan melalui kaedah ini, maka ia tidak mempunyai nilai intelek, sebaliknya samalah seperti sembang-sembang politik orang awam di kedai kopi,” tambah beliau mengulas mengenai pandangan beberapa ahli akademik sejak kebelakangan ini bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British, sebaliknya hanya mendapat naungan Britain.
“Sebaliknya, sekiranya seseorang ahli politik menggunakan kaedah akademik iaitu menerbitkan artikel atau buku ilmiah untuk mengemukakan pandangannya, maka pandangan itu adalah sarat nilai akademik.
“Oleh sebab itu, PPP melihat tindakan MPN itu merendahkan martabat akademik mereka sendiri,” katanya lagi.
Ahmad Zuhdi juga menambah, cadangan yang dikemukakan oleh MPN khususnya beberapa profesor seperti Zainal Kling, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Prof Dr Ramlah Adam bukan satu perkara yang kecil, sebaliknya menyanggah tesis yang sudah diterima oleh ramai ahli akademik dalam mahupun di luar negara.
“Kependudukan British sebelum 31 Ogos 1957 di Tanah Melayu, rata-rata diterima oleh para ahli akademik sebagai penjajahan sama ada di Negeri-negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu tidak bersekutu manakala pentadbirannya disebut pentadbiran oleh British.
“Di atas premis inilah, kajian-kajian sama ada di peringkat sarjana Muda, sarjana, doktor falsafah dan pasca kedoktoran telah dibuat sejak bertahun-tahun,” katanya lagi.
“Takrifan kolonialisme yang dipilih juga tidak dijelaskan kaedah pentakrifannya dan jauh sekali keabsahan sumbernya. Tidakkah istilah ‘naungan’ pada kurun ke-19 lazimnya adalah merujuk kepada ‘colonial protectorate’.
“Demikian juga dengan istilah ‘lindungan’ lazim merujuk kepada penjajahan sebagaimana status negara Brunei sebelum merdeka. Kalaulah kedua istilah ini tidak bermaksud jajahan, maka Empayar British adalah kecil iaitu hanya Australia, New Zealand, Kanada, India-Pakistan, Sri Langka, Nigeria, Papua New Guinea dan Negeri-negeri Melayu Selat.
“Menyedari hakikat tersebut, tesis yang dikemukakan oleh MPN bukan hanya melibatkan Malaysia, bahkan status negara-negara lain seperti Uganda, Maldives, Palestin dan Mesir,” kata Ahmad Zuhdi lagi.
Lelaki Russia ceroboh kem tentera didenda RM1,000
17 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment