Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng pernah mengakui dan mengesahkan bahawa serangan pengganas di Balai Polis Bukit Kepong diketuai oleh Mat Indera yang juga seorang panglima pemerintah komunis di negeri Johor.
Bekas Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zulkifli Ab Rahman berkata, perkara itu diceritakan sendiri oleh pemimpin komunis paling berpengaruh itu di hadapan para cendekiawan dalam satu dialog yang diadakan di sebuah universiti terkemuka di Canberra, Australia pada 22 dan 23 Feb 1999.
"Mat Indera pada masa itu dikenali sebagai panglima yang memerintah komunis di kawasan selatan dan utara Johor iaitu di Batu Pahat, Muar, Segamat, Tangkak dan seluruh Melaka.
"Ini bukan cerita yang dikutip di tepi jalan, tetapi disahkan oleh Chin Peng kerana baginya untuk menjadi pengganas mereka mesti menjadi komunis,” katanya dalam Forum Merdeka bertajuk ”Kekejaman Komunis, Mat Indera dan Kemerdekaan” di Kuala Lumpur malam tadi.
Selain Zulkifli, forum itu turut dibarisi oleh tiga anggota panel yang lain iaitu bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral (B) Datuk Jaafar Onn, pakar sejarah Prof Datuk Ramlah Adam serta Pengerusi Majlis Perundingan Melayu Prof Datuk Kamaruddin Kachar.
Forum yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu dipengerusikan oleh presidennya Datuk Ibrahim Ali.
Sehubungan itu, Zulkifli yang berkhidmat selama 37 tahun di dalam PDRM dan bertanggungjawab dalam risikan mengenai komunis pada masa itu, berkata dakwaan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang menyatakan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan, tidak benar dan tidak berasas.
"Macam manalah Mat Sabu berani kata Mat Indera ini bukan komunis, kenapa Mat Sabu pilih Mat Indera sebagai hero dalam peristiwa Bukit Kepong padahal dia tidak kenal siapa itu Mat Indera,” katanya.
- Bernama
0 Komen :
Post a Comment