KUALA LUMPUR — Indah Water Konsortium (IWK), syarikat pembetungan nasional, dijangka akan diswastakan dalam waktu terdekat dan bakal diambil alih oleh sebuah syarikat agensi pelaburan strategik 1MDB, demikian menurut sumber-sumber Kementerian Kewangan.
Kira-kira 11 tahun lalu kerajaan terpaksa menyelamatkan syarikat itu selepas syarikat terdahulu berhadapan dengan masalah kewangan.
Sumber-sumber memberitahu The Malaysian Insider, konsortium diketuai oleh 1MDB itu turut membabitkan penyertaan Puncak Niaga dan langkah itu dikatakan telah menerima lampu hijau oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun difahamkan bahawa Kementerian Kewangan sedang meneliti secara mendalam usaha tersebut ekoran soal kebimbangan dan kebolehlaksanaan bahawa kerajaan kemungkinan terpaksa berhadapan dengan situasi menyelamatkan syarikat tersebut jika ia gagal sekali lagi.
IWK kini merupakan syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.
Pada 1994, kerajaan pusat telah menganugerahkan konsesi kepada syarikat untuk mengambil alih perkhidmatan pembetungan seluruh negara.
Sejak itu, IWK telah mengambil alih perkhidmatan pembetungan daripada semua pihak berkuasa tempatan kecuali Kelantan, Sabah, Sarawak dan Majlis Perbandaran Johor Baru.
Di bawah cadangan itu, konsortium 1MDB akan memperoleh IWK dengan bayaran RM1 dan mengambil alih kesemua hutangnya termasuk pinjaman lebih RM1.5 bilion yang ia perlu selesaikan kepada Kementerian Kewangan.
Konsortium itu mahukan konsesi selama 60 tahun.
Ia juga mempunyai rancangan untuk mengaitkan caj-caj pembetungan dengan bil air.
Rancangan itu boleh mencetuskan kontroversi pusingan baru ekoran kurangnya ketelusan berkaitan perundingan itu, dengan pengguna bimbang mengenai perjanjian membabitkan IWK.
Sejak dari hari pertama, IWK berhadapan dengan masalah menyakinkan rakyat yang skeptikal untuk membayar bil berasingan, yang sebelum itu diselesaikan bersama bil air.
Pada 2000, pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad membayar hampir RM200 juta untuk memiliknegarakan IWK demi menjaga kepentingan awam dan mengelakkan gangguan perkhidmatan.
Langkah itu diambil untuk menangani masalah hutang syarikat tersebut ketika itu dianggarkan RM700 juta.
Malah, rancangan baru kerajaan pentadbiran Najib ini dilihat kemungkinan mencetuskan kritikan yang sama sebab membabitkan 1MDB dan Puncak Niaga, sebuah syarikat yang berhubung kait secara politik dengan Putrajaya.
0 Komen :
Post a Comment