KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke 13 tidak wajar diadakan sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
“Memang kita rasa tak munasabah jika SPR terus mengadakan pilihan raya tanpa betulkan apa yang dituntut oleh Bersih.
“Ini kerana terdapat pelbagai perkara yang serius seperti kewujudan warga asing dalam daftar pemilih, pengundi yang tidak wujud dalam data JPN dan data pengundi yang berumur lebih 100 tahun.
“Kalau BN tak selesai, pilihan raya umum tidak akan bermakna. Kalau BN menang, besar kemungkinan berlaku unsur-unsur penipuan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga yang berkata gabungan NGO itu tetap dengan pendirian mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menubuhkan jawatankuasa khas bagi membincangkan isu berkaitan pengurusan pilihan raya terutamanya daftar pemilih.
Selain itu, Ambiga juga memberi tempoh tiga bulan kepada SPR untuk melaksanakan lapan tuntutan yang dikemukakan gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Beliau juga tidak menolak penipuan yang dilakukan membabitkan agensi seperti SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu direstui pimpinan atasan.
“Ini adalah jaringan yang terancang, kita dapati agensi mendaftarkan warga asing dengan mendaftar kan mereka undi dan memberi mereka IC. Sudah tentu pemimpin atasan kerajaan tahu tentang perkara ini,” katanya.
Menurut Tian Chua, dalam masa tiga bulan ini, KEADILAN akan mempergiat usaha untuk mengumpul bukti dan menyediakan data terhadap penipuan dan penyelewengan pilihan raya.
Katanya, penerangan dan kempen akan dipergiatkan untuk memberi maklumat kepada orang ramai mengenai penipuan pilihan raya, terutama pengundi di luar bandar.
“Supaya orang sedar BN tidak berminat untuk membuat pembaharuan dan meneruskan penipuan pilihan raya dengan cara tidak berwibawa untuk mengekalkan kuasa mereka,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=18541
11 warga India ditemukan maut di sebuah restoran di Georgia
15 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment