BlogList Malaysia

25 August 2011

Pemuda PAS tolak undi pos luar negara

KUALA LUMPUR, 25 Ogos: Dewan Pemuda PAS Malaysia menolak keras cadangan yang dikemukakan oleh SPR untuk meminda peraturan pilihanraya bagi membolehkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengundi secara pos.

Cadangan tersebut jelas tindakan yang bercanggah dengan desakan PAS dan Pakatan Rakyat yang mahukan SPR mereformasi undi pos, bukannya menambahkan lagi jumlahnya.

Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat menegaskan, pihaknya amat kesal dengan cadangan SPR itu kerana ia jelas bertentangan dengan hasrat rakyat yang mahukan SPR melaksanakan pilihanraya di negara ini dengan bersih dan adil.


Menurut beliau, untuk membolehkan pilihanraya dilasanakan dengan bersih dan adil, antara desakan yang dibuat oleh rakyat terhadap SPR termasuk menerusi himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu di Kuala Lumpur termasuklah manambah baik undi pos.

Katanya, namun cadangan terbaru dari SPR itu jelas menunjukkan sikap sebenar SPR yang tidak mengendahkan desakan rakyat, sebaliknya membuat cadangan mengejutkan untuk memperbanyakkan lagi undi pos dalam pilihanraya di negara ini.

"Tindakan Pengerusi SPR itu ternyata bertentangan dengan Perkara 114 (2) Perlembagaan Malaysia. Pengerusi SPR sendiri perlu sedar dengan kedudukannya yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Oleh itu, Pengerusi SPR perlu mengendalikan pilihanraya di negara ini dengan adil dan tidak memihak kepada mana-mana parti. Beliau perlu bekerja dengan jujur, bertanggungjawab dan mendapat kepercayaan Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof seperti yang dilaporkan akhbar The Star hari ini mencadangkan agar peraturan pilihanraya dipinda bagi membolehkan rakyat Malaysia selaku pengundi-pengundi yang berada di luar negara membuang undi secara pos.

Beliau mencadangkan agar pindaan tersebut dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 bagi memberikan peluang kepada penduduk Malaysia yang berada di luar negara membuang undi dengan lebih mudah.

Menurut Suhaizan, tindakan rakyat terutama menerusi himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu turut memaklumkan kekecewaan rakyat dengan perjalanan pilihanraya di negara ini yang dikendalikan oleh SPR yang tidak pernah bersih dan adil kepada Yang di-Pertuan Agong, termasuk dengan adanya undi pos yang melibatkan polis dan tentera.

"Perlaksanaan undi pos sememangnya penuh dengan ruang manipulasi. Ini antara lain terjadi kerana semasa proses pembuangan undi pos tidak terdapat pemerhati politik termasuk wakil-wakil parti yang bertanding.

"Itulah sebabnya undi pos didesak dimansuhkan. Tetapi cadangan SPR itu pula bukannya hendak memansuhkan, malah tidak juga hendak mengurangkan, sebaliknya memperbanyakkan lagi undi pos sehingga kepada orang awam yang berada di luar negara pula," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Perlaksanaan undi pos di kalangan orang awam khususnya rakyat Malaysia yang berada di luar negara, katanya, pasti akan meluaskan lagi ruang manipulasi terhadap undi pos.

"Dengan itu, Pemuda PAS Malaysia secara tegas menolak cadangan SPR itu dan mendesak agar SPR mengurangkan lagi undi pos di negara ini, bukannya menambahkannya seperti yang dicadangkan itu," katanya.

SPR, tegasnya, sepatutnya tidak bertindak membuat cadangan seperti itu, tetapi melaksanakan desakan rakyat agar undi pos dimansuhkan di negara ini.

"Keengganan SPR melaksanakan desakan rakyat itu bukannya boleh menaikkan imej SPR, malah akan membuatkan rakyat akan terus hilang kepercayaan kepada SPR," tegas beliau.

Namun, Pemuda PAS Malaysia mencadangkan kepada SPR agar melaksanakan pembuangan undi terhadap rakyat Malaysia yang berada di luar negara di pejabat kedutaan Malaysia di negara-negara terbabit, dengan dipantau pemerhati politik dan wakil-wakil parti yang bertanding.

"Ini bermaksud, pembuangan undi kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara itu sama juga seperti yang berada di dalam negara. Bezanya, mereka membuang undi di pejabat kedutaan.

"Langkah seperti itu pula bukanlah sesuatu yang asing. Malah ia turut dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan di negara-negara lain di dunia ini kepada rakyat masing-masing yang berada di luar negara.

"Jadi, SPR wajar mencontohi langkah seperti itu, bukannya membuat cadangan yang pelik dan ternyata memihak kepada Umno BN seperti itu," ujar beliau.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas