BlogList Malaysia

07 August 2011

Ambiga: Terima kasih PSM6

Pengerusi gabungan menuntut pilihan raya adil dan bersih, BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga berterima kasih kepada PSM6 - yang baru dibebaskan selepas ditahan selama 28 hari di bawah Ordinan Darurat - kerana kekuatan dan ketabahan mereka telah meniup semangat gabungan tersebut menjadikan perhimpunan 9 Julai satu kenyataan.

Berucap di majlis kesyukuran PSM di ibunegara malam tadi, Ambiga
berkata, pihaknya begitu sedih di atas penahanan mereka menjelang perhimpunan tersebut diadakan.

"...dan ketika itu kami menerima mesej dari mereka yang ditahan: "Teruskan perhimpunan pada 9 Julai. Kami tetap bersama anda, kami tidak takut ".


Ambiga berkata, PSM6 menanggung bahang perhimpunan BERSIH tetapi tegasnya semangat mereka tidak pernah luntur dan sentiasa memperlihatkan ketabahan mereka dalam yang kritikal itu.

Kira-kira 300 hadirin memenuhi Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) untuk meraikan 'superhero' mereka - ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael D Jeyakumar; timbalan presiden PSM, M Sarasvathy; ketua pemuda, R Saratbabu, ketua PSM cawangan Bayan Baru, Choo Chon Kai, pemimpin PSM Sungai Siput, M Sukumaran dan setiausaha cawangan tersebut, A P Letchumanan.

Bermula dengan nyalaan lilin selama sejam, menuntut pemansuhan Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), majlis tersebut dimeriahkan dengan persembahan dari wakil masyarakat sivil.

Meraih sorakan gemuruh ialah persembahan petikan gitar pengarah Suaram, Kua Kia Soong, dengan para hadirin mengiringi beliau menyanyikan lagu yang diadaptasi dari Sepanyol, dengan korusnya yang berbunyi: "Rakyat yang bersatu tidak akan dapat dikalahkan" .

Jelas 'kuasa rakyat' menjadi tema majlis tersebut dengan para penceramah mengingatkan hadirin bahawa tekanan rakyat terhadap kerajaan telah membawa kepada pembebasan PSM6 pada 29 Julai, selepas 28 hari dalam tahanan.

Bagi pengerusi PSM Dr Nasir Hashim, sokongan rakyat menjadi inspirasi dan satu penegasan terhadap kuasa aktivisme akar umbi yang menjadi asas penubuhan parti sosialis itu.

"(Pihak berkuasa) gagal untuk menahan (PSM 6) lebih lama, kerana mereka telah membuat kesilapan. Mereka sangka kita sebuah parti kecil, tetapi kita mempunyai sejarah aktivisme dan kita mempunyai rakan-rakan yang baik.

"Ikat jamin (untuk 24 yang ditangkap pada 24 Jun) adalah RM8,000,
(berjumlah RM192,000), tetapi kita berjaya mendapatkan wang untuk mengikatjamin mereka kerana adanya perpaduan... Kita kini bersatu, dan jika anda sentuh kita, kita (semua) akan bertindak balas," katanya disambut tepukan gemuruh.

Turut berucap ialah timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu, yang naik ke pentas bertongkat ekoran kecederaan yang dialami semasa perhimpunan BERSIH 2.0.

Sambil mendakwa wujudnya 'double standard' dalam penguatkuasaan
polis, Mohamad berkata, tiada seorang pun guru silat ditangkap sedangkan mereka telah berikrar sanggup "menumpahkan darah" menentang BERSIH 2.0.

"(PSM 6) dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong... dan apa senjata mereka? baju-T," katanya disambut gelak ketawa hadirin.

Turut mendapat pujian ialah setiausaha agung, S Arutchelvan (atas) "yang tidak pernah mengenal erti takut".

Malaysiakini

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas