KUALA LUMPUR, 20 Julai — Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz yang gagal menukar nama dan status jantina dalam MyKad kepada Aleesha Farhana selepas ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengakui tertekan dengan pandangan negatif masyarakat terhadapnya.
Bagaimanapun kata Ashraf (gambar), 25, ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memperjuangkan hasratnya itu.
Sambil menyatakan mahu membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu, dalam sebak, Ashraf yang lebih mesra dipanggil “Aleesha” berkata, jika masyarakat tidak dapat menerima keadaannya berdasarkan pelbagai kutukan dan hinaan yang diterima termasuk menerusi laman sosial Facebook, dia rela dibunuh jika itu penyelesaian terbaik.
“Suka atau tidak, perjuangan perlu diteruskan sehingga semua wadah perundangan tiada lagi.
“Ramai mahu saya berdiam diri daripada masalah ini, tetapi saya mahu kehidupan yang aman,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.
Ashraf, yang ditemui di Kuala Terengganu, membuat permohonan menukar jantina di Mahkamah Tinggi 25 Mei lalu bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran, selain kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita dengan status lelakinya.
Menceritakan punca permohonannya ditolak, dia mengakui tidak mendapat bantuan perundangan yang kukuh ketika mengemukakan permohonan.
Malah katanya, ketika peguam Horley Isaacs menawarkan diri membantu, pendengaran kes itu sudah sampai penghujung.
Berkongsi kesedihan ditanggung anaknya itu, menurut laporan Berita Harian juga, ibu Ashraf yang mahu dikenali sebagai Mak Yah berkata masyarakat mudah melemparkan cacian kepada keluarganya tanpa memahami perasaan mereka.
Mak Yah dari Kampung Telaga Daing di sini, berkata sejak kes anaknya dilaporkan media, dia dan suami, Abdul Aziz mendapat kritikan dan cemuhan masyarakat yang melabelkan mereka ibu bapa tidak bertanggungjawab.
“Hinaan itu sangat pedih, seolah-olah kami membelakangkan Allah dengan menyokong keputusan Ashraf membuat pembedahan menukar jantina,” katanya sambil mengesat air mata dengan kain tudungnya.
Mak Yah berkata, walaupun ciri kewanitaan Ashraf dikesan sejak bayi, mereka tetap terkejut apabila mengetahui anak lelaki sulungnya itu membuat pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009.
“Ketika pembedahan itu, kami menunaikan haji di Mekah. Dia tidak pernah memberitahu ujian perubatan dan penilaian paras hormon yang dibuatnya di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur dua tahun sebelum itu.
“Disebabkan marah dan sedih dengan perbuatannya itu, kami menghalaunya dari rumah dan membakar semua baju perempuan, tetapi kami tahu dia yang bertukar menjadi perempuan selalu pulang ke rumah dan hanya tidur dalam kereta,” katanya.
Sementara itu, Abdul Aziz yang juga bekas anggota tentera berkata, beliau selalu menekankan aspek disiplin kepada anaknya, tetapi buntu mencari jawapan masalah dihadapi Ashraf.
“Akhirnya, kami sekeluarga menerima hakikat dialami Ashraf dan tidak lagi hidup dalam penafian, tetapi kami disisihkan masyarakat,” kata Abdul Aziz.
“Mungkin masalah itu tidak serumit sekarang jika dari awal kami mendapatkan pandangan pakar berhubung keadaan Ashraf.
“Jika cara didikan dikatakan punca dia begini, kenapa dua anak angkat kami dan dua adik kandungnya tidak sedemikian,” katanya.
0 Komen :
Post a Comment