BlogList Malaysia

04 July 2011

Titah Agong berunding bukan makna Bersih sudah tewas

KUALA LUMPUR, 4 Julai — Titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin agar Bersih 2.0 menyelesaikan isu mereka secara perundingan tidak seharusnya dianggap sebagai satu kekalahan kepada gabungan itu yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya adil dan bersih, kata penganalisis politik Prof A. Aziz Bari.

“Berunding tak semestinya kekalahan pada Bersih,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurut Aziz, ini kerana Seri Paduka Baginda (gambar) bertitah berunding dan ini boleh memberi makna laksanakan tuntutan supaya pilihan raya yang adil dan bebas diadakan.

“Ringkasnya kedua-dua pihak perlu bersedia berunding dan rujukannya perlu Perlembagaan Persekutuan,” kata pakar perlembagaan ini.

Aziz juga berkata dari segi Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda ada hak dan kuasa untuk bercampur tangan.


“Campur tangan Yang di-Pertuan Agong adalah kemenangan bagi menjamin satu pilihan raya yang adil dan besih, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan,” katanya lagi.

Semalam, Tuanku Mizan bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan “yang pentingnya.”

“Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik,” titah baginda dalam satu kenyataan.

Titah baginda muncul sehari selepas Putrajaya mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram manakala enam pemimpin dan ahli Parti Sosialis Malaysia ditahan di bawah Ordinan Darurat.

Himpunan Bersih 2.0 dirancang untuk diadakan hujung minggu ini.

Malah Tuanku Mizan bertitah rakyat harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang.

“Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora,” titah baginda.

“Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara,” titah baginda.

Sehubungan itu Aziz juga berkata, Istana Negara juga perlu memantau agar Perlembagaan Persekutuan dipatuhi dalam proses rundingan jika diadakan membabitkan pentadbiran Najib dan Bersih 2.0.

Malah kata Aziz, sekiranya Bersih bersetuju berunding dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan melaksanakan tuntutan, yang kesemuanya adalah selaras dengan kehendak Perlembagaan, badan pelaksana pilihan raya itu akan dipersalahkan dan Umno-BN akan kalah dalam pilihan raya umum ke-13 kerana dianggap menggunakan istana.

Kata beliau, SPR perlu mempunyai keyakinan kesemua parti yang menyertai proses pilihan raya dan “dalam terma yang mudah, Perlembagaan yang perlu kekal sebagai teragung di sini dan bukan demi kepentingan mana-mana parti.”

“Buat masa ini kedua-dua Umno-BN dan SPR sudah dianggap bersekongkol untuk menipu dalam pilihan raya,” katanya sambil menambah, semua tahanan mesti dibebaskan serta-merta kerana ia juga melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Begitu juga dengan rampasan yang dilakukan oleh polis,” kata beliau lagi.

Menurut laporan media semalan polsi telah menahan lebih 150 orang, kebanyakannya pemimpin Pakatan dan aktivis pro-Bersih 2.0 sejak seminggu lalu.

SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas