Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seolah-olah bertindak “cuci tangan” dalam isu pembaharuan sistem pilihan raya melibatkan pindaan undang-undang, khususnya berkaitan peraturan pendaftaran pemilih secara automatik.
Ia juga merupakan salah satu daripada lapan tuntutan yang dibawa oleh Bersih 2.0 kepada perhatian SPR baru-baru ini.
Dengan merujuk kepada tuntutan sistem pendaftaran pengundi secara automatik, Presidennya Jais Abdul Karim berkata, SPR sepatutnya bertanggungjawab dan bertindak lebih telus dalam memperkenalkan sistem pengundian secara automatik bagi mereka yang mencapai 21 tahun.
Sambil mengakui SPR juga ada memperkenalkan beberapa pembaharuan seperti sistem undi pos dan kaedah biometrik menentukan status pengundi pada hari pengundian, Jais berkata, SPR sepatutnya bertindak lebih proaktif untuk membawa pindaan baru ke atas undang-undang lama atau prosedur zaman merdeka yang sudah lagi sesuai dengan era semasa.
“Ada perkara yang kita kena akui SPR melakukan pembaharuan, tetapi hal ini (pendaftaran pemilih secara automatik) mereka macam cuci tangan,” kata beliau.
“SPR macam nak cuci tangan... saya tidak melihat SPR memihak kepada kerajaan BN, tidak... tetapi SPR cuba menyalahkan kerajaan... sepatutnya SPR perlu lebih bertanggungjawab,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Jais yang menghadiri forum “Tuntutan Bersih — Apa Penjelasan SPR?” anjuran Institut Perkembangan Minda di sini semalam mengemukakan soalan sama ada perkembangan semasa iaitu tuntutan Bersih ada kaitan dengan kegagalan SPR mendengar pandangan pelbagai pihak.
Jais berkata beliau difahamkan banyak tuntutan dibawa ke perhatian SPR sepanjang dua tahun lalu tetapi tidak menemui jalan penyelesaian.
Suruhanjaya itu mendakwa pihaknya berhadapan dengan kekangan undang-undang.
Malah dalam syornya semalam Jais juga menyarankan agar SPR memperkenalkan sistem pendaftaran pemilih secara automatik.
Bagaimanapun Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang merupakan penceramah pada forum itu berkata, undang-undang semasa tidak memungkinan perkara itu diamalkan.
Malah kata beliau, rakyat perlu mengambil tanggungjawab untuk mendaftar diri sebagai pemilih dan digunakan cara memaksa.
Wan Ahmad juga berkata mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan SPR hanya bertindak sebagai pengurus perjalanan pilihan raya manakala soal penggubalan undang-undang terletak di tangan kerajaan.
Malah kata beliau tiada negara yang menyaksikan kehadiran pengundi sehingga 90 peratus dan sebagainya.
Malah Wan Ahmad berkata, untuk meminda Perlembagaan Persekutuan memerlukan undi majoriti dua pertiga yang mana ia sukar untuk dicapai buat masa sekarang.
Sebarang cadangan bagi pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik perli melibatkan pindaan kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
Buku panduan yang diedarkan SPR semalam menunjukkan sekiranya pendaftaran secara automatik dilaksanakan tetapi ia tidak disusuli dengan peruntukan pengundian secara wajib, maka peratusan keluar mengundi akan merosot dengan teruk, berkemungkinan sekitar 50 peratus.
Malah menurut Wan Ahmad, yang juga bekas setiausaha SPR, salah satu kajian yang dijalankan oleh universiti awam tempatan menunjukkan bahawa faktor malas menjadi punca utama mengapa ramai enggan mendaftar sebagai pemilih.
Kini ada sekitar empat juta orang yang belum mendaftar sebagai pengundi.
Sebaliknya jelas Jais, beliau percaya bahawa jika pindaan itu dibawa ke Parlimen majoriti wakil rakyat - wakil kerajaan dan pembangkang di Parlimen akan menyokong.
Kata Jais, jika kesemua peruntukan yang hendak dipinda disekalikan ataupun digabungkan termasuk isu daftar pemilih yang menjadi kontroversi sekarang, pihaknya yakin wakil rakyat Pakatan Rakyat juga akan menyokong.
“Saya kecewa dengan hujah-hujah tadi (yang diberikan oleh SPR semalam)... saya hairan apabila beliau memberikan alasan,” kata Jais sambil menambah apa yang dibawa Bersih 2.0 juga bukan merupakan perkara baru.
“Sebahagian besar isu yang mereka (Bersih 2.0) bawa sudah pun dikemukakan oleh banyak pihak termasuk parti-parti politik sebelum ini,” kata Jais.
Sehubungan itu Jais juga berpandangan bahawa isu Himpunan Bersih 2.0 sudah pasti tidak wujud jika SPR telah mengambil pendekatan mendengar dan menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan selama ini.
“SPR sepatutnya menyediakan saluran-saluran yang membolehkan pelbagai pihak memberikan pandangan... kalau saluran ini ada, saya pasti badan-badan seperti Bersih ini tidak wujud, kena ada saluran untuk menyalurkan idea,” kata Jais yang turut menambah, apabila Bersih 2.0 membawa idea-idea ini, dilihat sebagai berat sebelah kerana disokong parti pembangkang lalu ia ditolak.
GPMS juga mengakui ada tuntutan Bersih 2.0, misalnya tempoh berkempen 21 hari adalah terlalu lama dan sukar untuk diterima banyak pihak.
Jais juga berkata ada juga aspek dalam sistem pilihan raya di negara ini yang sudah sesuai dengan perkembangan semasa dan oleh itu, Malaysia juga tidak perlu mengikut formula dan peruntukan yang digunakan di negara-negara lain. - TMI
01 July 2011
SPR seolah-olah cuci tangan salahkan kerajaan, kata GPMS
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment