Kerajaan setuju SPR laksanakan sistem biometrik
Kerajaan hari ini bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya nanti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.
"Pelaksanaan sistem biometrik ini juga akan dapat mengatasi dakwaan-dakwaan bahawa wujudnya pengundi hantu pada pilihan raya di negara ini," katanya semasa berucap pada Majlis Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020 di Kangar hari ini.
Perdana Menteri berkata BN komited kepada pilihan raya yang bersih serta adil dan tidak memerlukan 'BERSIH' untuk memastikan tindakan itu.
"Kalau nak buat penambahbaikan kita akan buat. Kita akan buat yang terbaik (menggunakan biometrik bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bersih) walaupun negara-negara maju pun tak buat," katanya.
Beliau berkata tidak perlulah untuk mengadakan demonstrasi atau perhimpunan kerana kerajaan akan sentiasa membaiki sistem pilihan raya di negara ini dari semasa ke semasa.
"Di peringkat nasional, kita (Barisan Nasional-BN) ada masa dapat undi banyak ada masa undi sikit. Tetapi majoriti masih di tangan kita. Kalau kita boleh jamin kita boleh menang, takdelah menteri kalah (pilihan raya) dan ada negeri kalah," katanya.
Beliau berkata selepas pilihan raya 2008, pembangkang tidak membangkitkan tentang pilihan raya tidak adil tetapi sejak dua tahun lepas apabila BN banyak menang pilihan raya kecil, tiba-tiba timbul cerita pilihan raya di negara ini tidak betul.
- Bernama
0 Komen :
Post a Comment