BlogList Malaysia

29 July 2011

PM nasihat Cina India 'Jangan buta sejarah dan jangan tak kenang budi'

Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat terutama Cina dan India supaya kembali mengenang jasa Barisan Nasional yang didakwanya bersikap terbuka sehingga tertubuhnya sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di negara ini.

Tidak cukup dengan itu, Perdana Menteri turut menasihatkan mereka yang terbabit supaya "jangan buta sejarah dan jangan tak kenang budi" dengan apa yang dinikmati dibawa oleh kerajaan pusat yang diteraju Umno sejak merdeka.

"Jangan kita buta sejarah dan jangan tak kenang budi. Ini sejarahnya yang kita warisi sehingga hari ini.

"Kalau pemimpin-pemimpin Perikatan (Barisan Nasional) dulu tak buat keputusan ini takkan ada sekolah Cina hari ini. Jangan jadi bangsa yang buta sejarah dan tak kenang budi.


"Kerajaan mengekalkan sekolah-sekolah yang patuh (mengikut) kurikulum sekolah kebangsaan atau sekolah persendirian Cina yang masih wujud hingga sekarang.

"Tiada negara lain di dunia yang amalkan sikap terbuka seperti ini," ujarnya pagi semalam, dipetik dari Bernama.

Penangdaily difahamkan, nasihat terbuka itu disuarakan ekoran kebimbangan dengan penyertaan luar biasa daripada Melayu dan bukan Melayu dalam perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lepas.

Bersih 1.0 pada November 2007 hanya disertai Melayu sahaja dan kurang membimbangkan Barisan Nasional berbanding perkembangan terbaru Bersih 2.0.

Beliau selaku Pengerusi Barisan Nasional merangkap Presiden Umno turut mempertahankan pentadbiran pusat kononnya melaksanakan demokrasi walaupun beberapa undang-undang 'tahanan tanpa bicara' seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat (EO) masih digunakan secara semberono sehingga sekarang.

"Dia buta sejarah kerana (demokrasi) dah dibuat oleh pemimpin terdahulu. Kita mahu baiki sistem demokrasi kita tetapi jangan sampai menafikan tak wujud demokrasi di negara kita," katanya.

Bercakap di Majlis Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa 1 di Jalan Kuala Kedah dekat Alor Setar sempena sambutan 100 tahun penubuhan sekolah tersebut, beliau turut mengajak rakyat menerima konsep 1Malaysia yang didakwanya mampu meningkatkan perpaduan dan integrasi nasional.

Rakyat, menurut beliau, wajar berpindah dari konsep 'toleransi' kepada konsep 'penerimaan'.

"Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia berpindah daripada konsep toleransi kepada konsep penerimaan. Konsep toleransi tak begitu bermakna... kalau kita berganjak kepada konsep penerimaan dapat kukuhkan perpaduan nasional," ujarnya.

Saranan itu disampaikan ketika enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat bertekad untuk mogok lapar; selain insiden polis bertindak agresif ke atas rakyat pada 9 Julai lepas.

Dipetik dari Penangdaily

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas