BlogList Malaysia

09 July 2011

PM bersyukur perhimpunan tidak bawa kesan serius

Perdana Menteri melahirkan rasa syukur perhimpunan haram yang berlangsung di ibu negara hari ini tidak berakhir dengan kesan serius kepada rakyat dan juga harta benda.

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau juga bersyukur kerana sebahagian besar rakyat khususnya yang tinggal di Kuala Lumpur dan Lembah Klang tidak menyertai perhimpunan itu, membuktikan mereka tidak menyokong demonstrasi jalanan.

"Mereka (yang tidak menyertai perhimpunan haram) merupakan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian, dan mereka juga telah terima nasihat yang dititahkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor dan juga kerajaan.


"Saya ingin ucap tahniah kepada pasukan keselamatan khususnya polis yang telah bertindak untuk menyuraikan perhimpunan itu dengan sebaik-baiknya dan saya berharap apa yang telah berlaku hari ini dijadikan iktibar kepada rakyat Malaysia," katanya.


Beliau bercakap pada sidang media selepas menyampaikan hadiah Kejohanan Sukan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia di Stadium Negeri di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Norliza Mahmud.

Perdana Menteri berkata kerajaan cuba mengelakkan kejadian sedemikian yang jelas menyusahkan dan mengganggu ketenteraman awam khususnya yang tinggal di Kuala Lumpur daripada berlaku.

"Kita tawarkan sebuah stadium untuk adakan perhimpunan itu tapi malangnya saya amat kesal mereka telah tolak tawaran itu.

"Ini jelas menunjukkan niat dan tujuan mereka ialah untuk mendapatkan publisiti yang seluas-luasnya, sebab itulah mereka nak berarak juga di tengah-tengah bandar kerana mereka nak beri gambaran bahawa Malaysia tidak ada kestabilan politik dan mereka eksploit isu ini sebanyak mungkin," katanya.

Beliau berkata sekiranya apa yang dituntut adalah untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih, maka ia tidak berbeza sama sekali dengan kehendak kerajaan.

Perdana Menteri kerajaan yang ada sekarang ini adalah kerajaan yang inginkan pilihan raya yang adil dan bersih.

"Kita telahpun amalkan pilihan raya sedemikian rupa selama ini, di samping itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sanggup lakukan penambahbaikan atas perkara-perkara yang masih lagi dipertikaikan.

"Umpamanya kalau mereka masih syak adanya pengundi hantu maka SPR akan laksana sistem biometrik untuk pastikan tidak ada pengundi hantu sama sekali dan perkara lain boleh bincang dengan SPR dan kerajaan," katanya.

Najib berkata tunjuk perasaan dan demonstrasi secara haram ataupun demonstrasi jalanan bukan jalan terbaik untuk mencapai impian sebenar mereka.

"Kita lihat selain bebankan rakyat, slogan mereka telah bertukar kepada slogan reformasi dan bukan lagi slogan berkaitan pilihan raya. Ini adalah antara bukti jelas bahawa motif mereka adalah motif politik dan tuntutan reformasi pilihan raya adalah alasan untuk mereka adakan perhimpunan haram," jelasnya.

Dipetik dari Malaysiakini

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas