BlogList Malaysia

06 July 2011

Mana Janji Manismu...

Himpunan BERSIH: Pakatan gesa Najib patuhi janji


Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya "mematuhi janji" dengan menyediakan stadium kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dengan menyediakan sebuah stadium untuk perhimpunan Sabtu ini.

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat juga berdiri teguh dengan BERSIH 2.0 yang mahu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka.

"Maklumat akhir, perdana menteri dan Kementerian Dalam Negeri sengaja memberi pelbagai alasan untuk tidak membenarkan stadium digunakan.


"Saya difahamkan BERSIH masih lagi merujuk kepada Najib supaya (beliau) mematuhi janji (dan) jaminan beliau untuk menyediakan stadium supaya BERSIH dapat menganjurkan majlis dengan teratur dan aman sepertimana semangat (ketika mengadap) dengan Yang di-Pertuan Agong.

"(Sebab itu) Kita menyokong tindakan keputusan BERSIH untuk meneruskan perhimpunan itu di Stadium Merdeka," kata Anwar yang juga ketua umum PKR.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat di Menara G di ibu negara petang ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Pakatan Rakyat kesal dengan kenyataan dan "sikap keterlaluan" Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang didakwanya "nampak menyimpang dari semangat rundingan" BERSIH dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Anwar mendakwa Hishammuddin seolah-olah menganggap BERSIH sebagai pertubuhan haram walaupun selepas bertemu dengan Seri Paduka.

"Maknanya Yang di-Pertuan Agong memanggil pertubuhan haram, kemudian semangat rundingan diketepikan begitu sahaja," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia supaya mengambilkira semangat pertemuan tersebut dan menasihati agar tidak mengeruhkan keadaan dengan membuat tangkapan khususnya terhadap ahli dan penyokong Pakatan Rakyat.

Turut hadir dalam sidang media itu, ialah timbalan presiden PAS Mohamad Sabu; setiausaha agung Datuk Mustafa Ali dan tokoh DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu, Lim berkata keputusan BERSIH untuk mengadakan perhimpunan di stadium merupakan "satu restu" daripada Seri Paduka dan dengan persetujuan daripada Najib.

"Kami berharap selepas pertemuan semalam, menteri dalam negeri dan polis mengambil inisiatif untuk mengawalselia perhimpunan itu," katanya.

Katanya, dengan tindakan tersebut, masyarakat dunia boleh melihat Malaysia sebagai sebuah demokrasi yang membenarkan rakyatnya mengamalkan hak asasi mereka.

Manakala Mohamad pula menyentuh tindakan polis yang didakwanya tidak mengambil tindakan terhadap kumpulan yang dikatakan "tidak dapat mengawal ahlinya" termasuk kejadian yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini.

"Saya nampak polis tidak mengambil tindakan dan memberi amaran kepada kumpulan itu.

"Kita tidak nampak kenyataan pihak tertinggi polis, dan menteri dalam negeri untuk menghalang tindakan yang membuat kacau," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau menggesa polis "menunjukkan kewibawaan dengan menjaga keselamatan rakyat, dan bukan menjaga pihak tertentu".

Ditanya sekiranya pihak Stadium Merdeka tidak membenar penggunaannya pada tarikh tersebut, Mohamad berkata pihak stadium mesti membenarkan kerana ia adalah "janji perdana menteri".

"Semangat rundingan BERSIH dengan Yang di-Pertuan Agong, pindah perarakan awal ke stadium. Disahkan oleh perdana menteri, apa alasan nak batal.

"Jaminan diberikan, ini dipersetujui BERSIH," katanya.

Ditanya bagaimana cara pemimpin Pakatan Rakyat untuk pergi ke stadium berkenaan, dengan kemungkinan wujudnya sekatan, Anwar dengan beseloroh berkata: "Kalau boleh dengan helikopter".

Lantas Mohamad mencelah: "Tiada sungai untuk kami renangi", menyebabkan kira-kira 25 wartawan dan jurugambar ketawa.

"Kita guna kebijaksanaan dan kemahiran masing-masing," kata Anwar meredakan keadaan.

Katanya, tempat terakhir pemimpin Pakatan Rakyat akan berhimpun adalah di dalam stadium pada tarikh tersebut.

Dipetik dari mkini


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas