Bahagian 1
Pada suatu petang, di sebatang jalan raya di hadapan sebuah bangunan kerajaan di negara mat saleh yang pemerintahannya dianggap mempunyai rekod buruk dalam isu hak asasi manusia petang itu dibanjiri hampir dua ribu manusia.
Sambil memegang sepanduk-sepanduk memprotes dan mengecam dasar pentadbiran negara itu yang dikatakan melaksanakan dasar menindas kehidupan rakyatnya, mereka turut melaungkan slogan-slogan memprotes tindakan pentadbiran presiden mereka.
Tidak berapa jauh dari situ, di kaki-kaki lima deretan kedai-kedai sepanjang jalan kelihatan orang-orang awam yang tidak menyertai demonstrasi itu turut berada di sekitar kawasan itu dan memerhatikan demonstrasi tersebut dengan penuh minat.
Rata-rata orang-orang awam yang berada di situ kelihatan sedang leka membeli-belah di beraneka kedai-kedai yang ada, kompleks membeli-belah mahupun sekadar minum dan bersantai di restoran-restoran yang banyak terdapat di situ.
Tidak kurang juga mereka yang datang ke situ hanya semata-mata ingin menyaksikan dengan lebih dekat lagi situasi demonstrasi yang diadakan oleh kumpulan yang menyuarakan protes mereka terhadap kerajaan terbabit.
Di samping itu ada di antara mereka yang mengambil kesempatan dengan merakamkan ragam pendemo-pendemo itu dengan telefon bimbit berkamera mereka.
Keuntungan berlipat kali ganda
Tidak seperti hari-hari lain, pada hari itu kedai yang berada di sepanjang jalan tersebut memperolehi keuntungan berlipat kali ganda disebabkan kebanjiran manusia yang datang untuk menggunakan kebebasan bersuara mereka itu, lebih-lebih lagi bagi pemilik-pemilik restoran yang tentunya tersenyum lebar.
Di celah bingit dek laungan slogan bersemangat pendemo itu, kelihatan pula wartawan-wartawan dan jurugambar-jurugambar pelbagai media dari dalam dan luar negara kelihatan sedang sibuk membuat liputan peristiwa itu.
Pada masa yang sama, di dalam kawasan berpagar bangunan kerajaan itu juga kelihatan hampir beratus-ratus anggota polis anti rusuhan yang serba lengkap bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Anggota polis itu yang di tempatkan di hadapan pintu pagar utama bangunan kerajaan itu kini hanya menunggu arahan untuk bertindak daripada pegawai atasan mereka sekiranya berlaku ancaman keganasan daripada peserta-peserta demonstrasi itu.
Beberapa pegawai-pegawai atasan polis pula kelihatan tenang memantau perlakuan dan pergerakan kumpulan pembayar gaji mereka yang sedang berdemonstrasi itu.
Sementara itu, di tengah-tengah lalu lintas yang semakin sesak disebabkan ribuan manusia yang membanjiri kawasan itu, beberapa anggota polis lain kelihatan sibuk mengawal pergerakan trafik dan melencongkan kenderaan yang mahu memasuki jalan tersebut.
Setelah hampir dua jam berlalu, masih tiada sebarang tanda-tanda kejadian yang tidak diingini berlaku dan kumpulan pegawai-pegawai polis tadi mula menunjukkan sedikit rasa lega.
Tidak berapa lama selepas itu, kelihatan seorang tokoh aktivis hak asasi manusia yang memimpin demonstrasi itu tampil di hadapan ribuan penyokong-penyokongnya itu lantas memberikan ucapan yang penuh bersemangat dan seperti selalu disambut dengan laungan bersemangat dan tepukan yang gemuruh.
Setelah selesai tokoh itu memberikan ucapan, seperti yang diarahkan oleh sekretariat mereka, akhirnya kumpulan besar tersebut mulai bersurai.
Selepas itu setelah penat lama berdiri dan melaung-laungkan slogan protes, pendemo-pendemo itu tidak melepaskan peluang untuk terus mengambil tempat di restoran-restoran yang ada untuk membasahkan tekak.
Tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan untuk mengunjungi beraneka kedai-kedai pakaian dan beraneka kedai lain yang berderet di sepanjang jalan itu.
Di samping itu, ramai juga yang terus angkat kaki pulang ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan-kenderaan awam samada keretapi laju, bas mahupun menahan teksi-teksi yang sedang menunggu habuan untuk mereka pula.
Aliran trafik di beberapa batang jalan di bandaraya itu yang mengalami kesesakan teruk sebelumnya juga sedikit demi sedikit mulai beransur lancar dan pulih seperti sediakala.
Terperangkap dengan kesesakan lalu lintas
Bagi kebanyakan pengguna-pengguna jalan raya di kota ini, walaupun kesesakan tadi memanglah sesuatu yang merimaskan dan kadang-kala menyiksakan tetapi ia bukanlah sesuatu yang menghairankan.
Terperangkap dalam kesesakan ketika memandu di kota metropolitan serba moden dan canggih seperi kota ini bukanlah sesuatu yang baru bagi kebanyakan pemandu-pemandu di sini.
Malahan dengan pelbagai pesta yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk anjuran pihak kerajaan sendiri telah turut menyebabkan kesesakan trafik yang teruk berlaku.
Setiap kali sambutan tahun baru, ulang tahun kemerdekaan, pesta kebudayaan, konsert artis terkenal, acara-acara sukan dan pesta entah apa lagi yang sering diadakan pasti akan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kota ini.
Bagi pengguna-pengguna jalan raya di sini, tiada salahnya sekali lagi terperangkap dalam satu lagi kesesakan lalu lintas agar dapat memberi peluang kepada pendemo-pendemo tadi menggunakan hak mereka untuk bersuara.
Jika sanggup tersiksa akibat terperangkap dalam kesesakan lalulintas gara-gara penganjuran pesta, masakan pula tidak sanggup demi menegakkan keadilan untuk mendapatkan hak kebebasan bersuara yang telah dijamin oleh perlembagaan? Itukan jauh lebih mulia daripada berpesta.
Lebih bagus apabila demonstrasi yang diadakan tadi tidak pula membabitkan pengaliran keluar wang cukai yang dibayar pemandu- pemandu yang terperangkap dalam lalu lintas itu sendiri tadi kepada kerajaan kecualilah gaji anggota keselamatan yang sememangnya perlu dibayar setiap bulan.
Sebaliknya bagi pesta anjuran kerajaan pula, pengguna-pengguna jalan raya yang sudahlah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, pastinya bertambah sesak apabila mengetahui mereka sendiri yang membayar harga yang tinggi hanya semata-mata untuk berpesta.
Kisah demonstrasi aman seperti ini kalau pun tidak di semua negara Barat, senario yang hampir sama kerap berlaku di negara-negara maju yang menghormati kebebasan rakyatnya untuk bersuara.
Sementara itu, dalam sebuah kota di negara yang teramat jauh pula ada cerita yang sangat berbeza…..
bersambung…
Sumber disini
0 Komen :
Post a Comment