PULAU PINANG 21 Julai – Peserta demonstrasi jalanan anjuran pembangkang telah diajar dengan taktik-taktik tertentu bagi menampakkan tindakan polis terhadap mereka seolah-olah ganas dan tidak berperikemanusiaan.
Perkara itu diakui sendiri oleh bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Aminah Abdullah yang pernah terbabit dalam beberapa perhimpunan haram dahulu.
Jelasnya, mereka yang diarah bertindak sedemikian akan menerima habuan tertentu seperti wang ringgit.
“Dulu semasa berdemonstrasi kalau polis pegang sikit anggota badan, kita akan meronta-ronta bagi memaksa polis pegang kita dengan lebih kuat dan kadangkala sehingga baju terkoyak supaya nampak seperti tindakan ganas.
“Ada ketika juga kita disuruh duduk di atas jalan, supaya polis terpaksa mengheret kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa pasukan itu bertindak kejam terhadap mereka yang menyertai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di pada 9 Julai lalu.
0 Komen :
Post a Comment