Kerajaan bersetuju membenarkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) yang akur dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya memindahkan perhimpunan aman jalanan ke stadium tertutup bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Saya difahamkan BERSIH mahu berunding dengan kerajaan untuk berhimpun di sebuah stadium (dan) kita bersedia berjumpa dengan mereka,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Namun katanya, pihak penganjur mesti mematuhi beberapa syarat sebelum persetujuan diberikan.
“Kita bersedia untuk berjumpa dengan pihak berkenaan bagi mengadakan (perhimpunan) di stadium dengan syarat bahawa mereka akan pergi dengan aman, mereka akan menegaskan perhimpunan (itu akan diadakan secara) aman dan mereka akan balik dengan aman.
“Sekiranya sebarang kejadian yang berlaku maka pihak penganjur akan dipertanggungjawabkan atas segalanya ataupun yang akan berlaku, yang boleh menyebabkan sama ada huru-hara ataupun kerosakkan hartabenda ataupun boleh menyebabkan mana-mana individu tercedera ataupun lebih buruk daripada itu,” katanya.
Sehubungan itu, Najib berkata kerajaan berharap pihak penganjur akan menepati janji mereka supaya segala-galanya akan berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebrang kejadian yang tidak diingini.
Perdana Menteri juga melahirkan ucapan junjung kasih kepada Seri Paduka di atas rasa keprihatinan yang amat berat baginda untuk memastikan tidak ada sebarang kejadian yang boleh menganggu gugat keamanan and keselmatan negara kita.
“Di atas rasa yang bertanggungjawab dan keprihatinan yang amat tinggi lagi mendalam maka baginda telah titahkan supaya semua pihak tidak mengadakan demonstrasi jalanan yang dicadangkan pada 9 Julai ini,” katanya.
Terima kasih
Sebelum ini selain BERSIH, kumpulan pendesak Melayu - PERKASA dan Pemuda Umno juga menyatakan hasrat mengadakan perhimpunan bagi memprotes tindakan tersebut.
“Saya ucap terima kasih semua pihak (yang) menghormati titah baginda. Dengan ini maka tidak akan diadakan sebarang perhimpunan jalanan 9 Julai nanti,” katanya.
Pada Ahad lalu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, mereka hendaklah memastikan tuntutan itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.
Seri Paduka juga menyeru kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.
Titah Seri Paduka, baginda selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.
Sejak BERSIH 2.0 mengumumkan perhimpunan itu, pihak berkuasa khususnya polis terus menghambat rakyat yang menyokong pertubuhan itu.
Mereka yang memakai baju BERSIH atau memilikinya ditangkap manakala pejabat NGO itu juga digeledah dan barangannya dirampas. - mkini
0 Komen :
Post a Comment