Keputusan Nazri tak hina mahkamah kekal
Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan keputusan koroner bagi tidak mengenakan tindakan menghina mahkamah ke atas Menteri di Jabatan Perdan Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz semasa inkues Teoh Beng Hock.
Dalam keputusannya, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan tidak cukup butiran dalam afidavit wartawan Malaysiakini Hazlan Zakaria yang menyokong permohonan itu bagi menentukan konteks perkataan yang diutarakan.
"Oleh itu, ini menimbulkan masalah untuk mahkamah putuskan,” katanya.
“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan untuk menolak rayuan itu.”
Keluarga Teoh diwakili oleh peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo, manakala pendakwa raya kanan Kamaludin Md Said Andi Razali Jaya mewakili Nazri dan responden yang lain.
Keluarga Teoh mahu tindakan menghina mahkamah dikenakan ke atas Nazri kerana melabel pakar patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand sebagai "seorang pembohong" berhubung dakwaannya yang beliau diugut oleh pihak berkuasa Malaysia agar tidak memberi keterangan pada inkues itu.
Di luar mahkamah, Karpal berkata beliau dan keluarga Teoh sedang memikirkan dengan serius bagi membuat rayuan berhubung penolakkan permohonan berkenaan.
"Menteri yang mengeluarkan kata-kata menghina itu adalah satu kesalahan yang serius dan tindakan perlu diambil,” katanya.
Karpal juga melahirkan rasa terkejutnya bahawa Hakim Akhtar gagal menjumpai bukti bahawa Malaysiakini adalah media elektronik.
"Mahkamah mengambil kira notis penghakiman kerana tidak dapat bukti bahawa Malaysiakini adalah media elektronik dan kami agak binggung dengan penemuan itu,” katanya.
"Malaysiakini adalah media elektronik yang diiktiraf dan bagi mahkamah menyatakan demikian adalah sesuatu yang mengejutkan.”
Karpal juga berharap isu berkenaan dapat dijelaskan kepada mahkamah.
Hakim Akhtar dalam penghakimannya hari ini berkata afidavit wartawan Malaysiakini itu adalah berdasarkan perbualan telefon dengan Nazri.
Namun katanya, tiada bukti menunjukkan Malaysiakini adalah media elektronik.
0 Komen :
Post a Comment