Orang Asli gegarkan konvensyen pilihan raya PKR
SHAH ALAM: Seandainya “Anugerah Pemidato Paling Popular” diwujudkan dalam Konvensyen Pilihan Raya PKR yang bertemakan “Demi Rakyat”yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam semalam, anugerah itu seharusnya diberikan kepada wakil orang Asli, Fatimah Bah Sin.
Wakil orang Asli yang berasal dari suku kaum Semai tersebut menggamatkan dewan konvensyen dan menerima tepukan gemuruh daripada lebih lima ribu perwakilan dari seluruh negara setiap kali beliau menghabiskan ayat.
Setiap hujah yang beliau sampaikan dalam bentuk yang amat mudah difahami tetapi berbentuk terus ke fakta, menerima tepukan dan laungan kata-kata semangat daripada perwakilan.
Bercakap di atas pentas untuk kali pertama Fatimah ternyata agak gemuruh di awal ucapan beliau tetapi sambutan daripada perwakilan yang tidak putus-putus melaung nama beliau sebagai tanda mengiyakan hujah yang beliau sampaikan membuatkan Fatimah menguasai pentas dengan cukup baik.
Fatimah memulakan pidato beliau dengan mengecam kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengkategorikan orang Asli dalam kategori bangsa sebagai “Lain-lain”.
“Kenapa orang Asli dikategorikan sebagai bangsa Lain-lain? Habis itu orang Asli ini datang dari mana?
“Tanah orang Asli diceroboh untuk tujuan pembangunan dan pembalakan.Kami bukan minta bangunan tetapi kami hanya meminta hak milik tanah untuk tapak rumah kami dan untuk kami tinggal di situ tanpa gangguan pihak luar”, tegas Fatimah.
Seperti mana yang berlaku keterbukaan di Konvenysen Nasional PKR di Kota Bahru tahun lepas apabila Menteri Besar Selangor Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima pelbagai kritikan pedas daripada perwakilan; pada konvensyen PKR Ahad lalu kepimpinan tertinggi PKR tidak terlepas daripada teguran dan peringatan daripada perwakilan.
Fatimah menggunakan peluang berucap di hadapan keseluruhan kepimpinan tertinggi PKR memberikan peringatan agar tidak melupakan orang Asli.
“Jika PKR ingin menang di dalam Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 nanti, PKR harus mendekati kami. Jangan masa PRU baru nak dekati kami tetapi selepas PRU habis, tak jenguk kami.
“Saya menyeru kepimpinan tertinggi, negeri, cabang dan ranting turun ke kampung orang Asli untuk menyelami masalah kehidupan yang kami hadapi”, kata Fatimah lagi dan disambut tepukan gemuruh dari perwakilan.
Wakil Umno
Fatimah juga berkongsi pengalaman apabila beliau pernah menjadi perwakilan Umno ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.
“Saya menjadi perwakilan tetapi perwakilan ibarat burung belatuk yang hanya menggangguk dan berkata “tok” tok” “tok” tanpa boleh mempertikaikan atau mengkritik apa-apa tentang kepimpinan Umno.
“Umno kata mereka membela orang Asli tetapi hanya menjenguk kami setiap kali PRU.Kini orang Asli sudah sedar dan jangan kongkong kami!” teriak Fatimah dan suasana dewan kembali gamat dengan sorakan perwakilan yang memanggil nama “Fatimah!”, “Fatimah!”, “Fatimah!”.
Fatimah juga mengingatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, janganlah beliau lupa pada orang Asli.
Dewan sekali lagi gamat apabila perwakilan bersorak “Ya!”, “Ya!”, “Ya!” sebagai tanda setuju dengan saranan Fatimah.
Fatimah mengakhiri ucapan beliau dengan desakan meminta kepimpinan PKR memberikan informasi kepada masyarakat orang Asli agar mereka juga sama-sama dapat melakukan perubahan dalam landskap politik tanahair.
Fatimah juga sempat mengusik Anwar dan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail apabila beliau meminta pemimpin tersebut mengadakan Konvensyen PKR pada tahun depan di kawasan orang Asli dan dewan sekali lagi gamat dengan gurauan Fatimah.
0 Komen :
Post a Comment