Alor Setar – Masalah air di Universiti Utara Malaysia berjaya diatasi sepenuhnya oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) apabila syarikat air itu berjaya membekalkan sebanyak 14 juta liter air kini.
Demikian diberitahu oleh Pegawai Perhubungan Awam SADA, Encik Rofedi Sulaiman kepada Warta Darul Aman.
Menurutnya, apabila Loji Air Padang Sanai mula beroperasi pada 15 Mei lalu, sebanyak 35 juta liter air sehari dapat disalurkan ke Bukit Kayu Hitam, Sintok dan UUM. Manakala 15 juta liter untuk sedikar Durian Burung dan Padang sanai.
“Di UUM sahaja pada mulanya kita melepaskan 12.5 juta liter (sehari) tetapi kini sudah meningkat sehingga 14 juta liter (sehari), sedangkan anggaran keperluan di UUM hanya sekitar 10 juta liter sehari,” ujarnya.
Seperti dijangkakan, katanya, apabila air dalam kuantiti yang besar dan tekanan yang kuat disalurkan ke UUM, maka berlaku kebocoran paip di dalam kampus yang diakibatkan sistem saluran yang lama tidak berganti.
“Semua masalah yang berlaku dalam kampus diatasi oleh pihak UUM sendiri, kerana itu tanggungjawab mereka dan tugas SADA hanya membekalkan air dalam kuantiti yang mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Dato’ Mohamed Mustafa Ishak dipetik sebagai berkata, segala masalah infrastuktur dalaman sedang diatasi manakala tangki-tangki baru akan dibina mengikut keperluan.
Isu air di UUM menjadi agak ‘panas’ sebelum ini ekoran pihak-pihak terbabit mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan diri masing-masing walaupun masalah terus berlarutan. Kini dengan selesainya masalah tersebut, semua pihak bersyukur dan boleh menarik nafas lega.
0 Komen :
Post a Comment