Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba menakut-nakutkan rakyat agar tidak turun ke himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang menyebut pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk membuat tangkapan pencegahan sekiranya perlu, sebelum dan semasa perhimpunan itu.
Katanya, ugutan Khald itu sekaligus menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasa amat dukacita di atas kenyataan itu. Perhimpunan Bersih adalah satu himpunan aman yang diketuai oleh beberapa NGO dan parti-parti politik daripada Pakatan Rakyat yang menuntut supaya pihak kerajaan melaksanakan sistem pilihanraya di Malaysia secara bersih dan adil. Inilah harapan dan kemahuan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan," katanya kepada Harakahdaily.
DPPNS turut menasihatkan Khalid agar mencontohi pihak polis di United Kingdom (UK) yang membenarkan himpunan aman diadakan di negara mereka serta memberikan kawalan keselamatan secukupnya supaya himpunan tersebut dapat dijalankan dengan jayanya.
Tambah beliau, begitu juga pihak polis di Jakarta yang lebih ‘mesra’ pendekatan mereka terhadap peserta himpunan aman di negara tersebut dengan memaklumkan kepada peserta himpunan aman dalam media elektronik supaya berhimpun dalam keadaan aman, mengikut jalan-jalan yang telah disediakan untuk himpunan tersebut serta bersurai dengan tertib.
"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan pandangan yang diutarakan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang berpendapat bahawa pihak PDRM sepatutnya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada rakyat Malaysia yang akan hadir untuk menyertai Bersih kali ini dengan menyediakan anggota polis yang mencukupi bagi mengawal selia himpunan tersebut supaya berjalan dengan baik dan sempurna, menyediakan jalan-jalan yang sesuai untuk para peserta berarak dan berhimpun dengan aman," katanya.
Sehubungan itu, DPPNS berharap PDRM akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk berbincang dengan pihak penganjur program supaya himpunan ini dapat berlangsung dengan baik.
"Janganlah disebabkan tekanan daripada pihak-pihak luar yang takut kehilangan kuasa mereka disebabkan arus kebangkitan rakyat menentang kezaliman dan ketidakadilan maka PDRM mengambil satu tindakan yang silap yang boleh menghakis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan integriti mereka sendiri," katanya. - hrkh
0 Komen :
Post a Comment