PKR mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengurusan Hospital Serdang, dekat sini kerana gagaln menjalankan bedah siasat ke atas mayat Paikiam Subramaniam yang dibunuh di Sungai Petani pada 12 Mac lalu.
Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam mendakwa pihak pengurusan hospital berkenaan memberi alasan yang tidak munasabah iaitu ketiadaan alat pengimbas menyebabkan bedah siasat tidak dapat dilakukan.
“Mahkamah telah mengarahkan bedah siasat bebas dibuat tetapi sehingga ini……setelah 147 hari mayat masih disimpan di Hospital Serdang. Saya percaya ia cuba dihalang oleh pihak hospital dan polis,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Paikiam, 24 tahun dan baru lima bulan berkahwin disyaki dibunuh oleh suaminya James Balan 31 tahun. Keluarga mangsa menemui mayat mangsa ketika dibawa ke Hospital Kulim.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menyifatkan pembunuhan itu sebagai satu perbuatan yang kejam dan mendakwa tidak ada pihak yang datang membantu keluarga yang malang itu.
Sehubungan ini, Ketua Wanita PKR itu menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membantah kejadian itu.
0 Komen :
Post a Comment