BlogList Malaysia

07 May 2011

Siapa Yang Bongkak.. Najib Atau Anwar ?

Anwar nasihat Najib: Jangan bongkak, anda akan jadi ketua pembangkang

Anwar Ibrahim meningatkan Najib Razak tidak bermimpi untuk merampas Selangor ketika menyampaikan ceramah di Marang, Terengganu malam tadi.

MARANG, 7 Mei — Sehari selepas kenyataan Datuk Seri Najib Razak mahu merampas Selangor dengan menggunakan apa sahaja sebagai senjata, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Presiden Umno itu jangan terlalu yakin untuk menawan balik negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

Sebaliknya Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat memberi amaran kepada Najib agar tidak mengamalkan “politik rampas” semata-mata untuk memerintah negara.


“Rampas-merampas ini mana punya kerja? Ini politik rampas tidak boleh (diamalkan), bini (isteri) orang nak rampas... Perak rampas... Selangor nak rampas... mana boleh macam ini.

“Najib jangan bongkak... insya-Allah kami akan tawan Putrajaya, kamu akan jadi ketua pembangkang yang baru,” katanya pada ceramah perdana isu-isu semasa di Madrasah Darul Iman, Kedai Buluh di sini malam tadi.

Dalam ucapan di hadapan kira-kira 3,000 orang itu, Anwar menggesa supaya rakyat melakukan perubahan dan memilih Pakatan Rakyat bagi menggantikan Umno-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.

“Kita akan tambah bilangan kerusi Parlimen, di Terengganu kita tambah tiga atau empat kerusi... Pulau Pinang tambah lagi satu... Perak kita boleh tambah tiga kerusi dan di Selangor kita boleh tambah dua kerusi lagi.

“Di Wilayah Persekutuan kita menang 11 kerusi, kalah satu kerusi di (Parlimen) Setiawangsa itu pun sebab undi pos... 14,000 undi pos paling banyak dalam sejarah.

“Di Sarawak, melihat kepada keputusan pilihan raya Sarawak yang lalu, kita boleh tambah 10 hingga 11 kerusi lagi,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh.

Laporan media semalam menyebut, Najib mahu Umno Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit bagi memastikan BN dapat merampas kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-13, yang disifatkannya “sudah hampir tiba.”

Presiden Umno itu berkata, bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang, warga Umno Selangor perlu menggunakan apa sahaja ‘senjata’ yang dimiliki mereka.

Pada pilihan raya umum 2008, selain Selangor, Pakatan Rakyat berjaya menguasai Perak, Pulau Pinang dan Kedah dengan mengekalkan Kelantan di bawah pentadbiran PAS.

Namun Perak dirampas semula BN setahun kemudian.

“Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas.

“Kita juga tidak boleh terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kehilangan keyakinan kita, sebaliknya kita mesti menyusun semula barisan, kuatkan iltizam dan semangat juang serta bangkit menebus kekalahan dengan semangat juang yang tidak tahu erti kalah,” kata Najib yang juga pengerusi Umno Selangor.

Kata Anwar, Pakatan Rakyat akan mempertahankan setiap kerusi yang dimenangi walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai strategi kotor Umno-BN.

“Kita perlu pertahankan kerusi-kerusi ini, saya percaya Umno akan gunakan apa sahaja cara untuk melemahkan kita.

“Mereka (Umno-BN) kata kita bermimpi (untuk tawan Putrajaya) tapi jangan lupa kita pernah menang di Terengganu, Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan, malah di Wilayah Persekutuan juga kita menang... cukuplah dengan sistem sedia ada (sekarang), kita perlukan perubahan,” katanya.

Bercakap soal Buku Jingga yang dilancarkan Pakatan Rakyat, Anwar berkata, janji-janji yang terkandung dalam dasar bersama tiga parti perikatan akan dilaksanakan jika berjaya menawan Putrajaya.

“Apa yang kita buat dalam Buku Jingga ini adalah buku program kita yang akan kita laksanakan jika kita berjaya tawan Putrajaya, yang penting kita perlu tawan Putarajaya.

“Tawan Putrajaya hari ini, dalam tempoh 24 jam, saya akan buat pengumuman, minyak akan turun... dari Perlis sampai ke Sabah, malah kita akan berikan wang royalti kepada negeri pengeluar minyak sehingga 20 peratus,” katanya.

Kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, setiap yang dijanjikan itu bukan janji kosong, sebaliknya ia akan dilaksanakan.

“Jangan main-main, ini bukan janji-janji politik... saya bukan main-main.

“Apa yang kita nak buat akan kita lakukan, minyak kita akan turunkan, royalti kita akan pulang dan banyak lagi kita akan lakukan,” katanya.

Buku Jingga yang terdiri daripada dasar kerajaan Pakatan Rakyat dan 10 inisiatif 100 hari pertama pemerintahan diperkenalkan pada konvensyen keduanya di Pulau Pinang Disember lalu.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas