BlogList Malaysia

11 May 2011

Isu pengundi: Umno nafi, gesa PKR tarik balik tuduhan konspirasi

KUALA LUMPUR, 11 Mei — Umno Hulu Selangor menafikan pihaknya ada menghantar permohonan kepada Menteri Dalam Negeri meminta kelulusan menukar taraf pemastautin tetap sekitar 2,000 rakyat asing untuk membolehkan mereka didaftar sebagai pengundi kawasan tersebut menjelang pilihan raya umum ke-13.

Sehubungan itu, Umno bahagian tersebut juga menggesa timbalan pengerusi PKR Selangor Zuraida Kamaruddin menarik balik dakwaan itu, yang dibuat pada satu sidang media pagi semalam.

“Pengurusan Umno Selangor mengadakan mesyuarat khas petang tadi (semalam), dipengerusikan oleh Datuk (Mohamed) Idris (Abu Bakar) sendiri dan kami memutuskan dua perkara iaitu pihak yang membuat tuduhan perlu menarik balik tuduhan mereka dan jika tidak, kami akan saman mereka... ini fitnah,” kata jurucakap Umno Hulu Selangor ketika menghubungi The Malaysian Insider.


“Perkara (permohonan kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein) memang tak wujud, ia tak betul sama sekali... pemeriksaan kami mendapati ada beberapa kesilapan... surat kepala yang digunakan juga tidak sama seperti yang kami gunakan selalu, corak tanda tangan Datuk Idris juga lain dan ejaan nama Datuk Idris juga adalah kesilapan,” kata jurucakap itu lagi.

Katanya, biasanya Idris menggunakan nama penuh “Datuk Hj Mohamed Idris Hj Abu Bakar”, bukannya “Datuk Hj Idris Abu Bakar”.

Katanya, Umno Hulu Selangor juga akan membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dibuat Zuraida, hari ini.

The Malaysian Insider difahamkan PKR Hulu Selangor juga akan membuat laporan polis hari ini ekoran pendedahan Zuraida semalam.

“Laporan polis akan dibuat sama ada di Shah Alam ataupun di Hulu Selangor sendiri,” katanya lagi.

Dalam kenyataan dibuat semalam, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang menunjukkan satu dokumen yang mendakwa Umno berkonspirasi menukar status pemastautin tetap rakyat asing bagi membolehkan mereka memperoleh kerakyatan bertaraf penuh, yang jumlahnya melibatkan 2,000, bagi membantu kemenangan BN di Hulu Selangor pada pilihan raya umum ke-13.

Zuraida memberitahu bahawa satu permohonan bertarikh 23 Mac 2011 telah dihantar ke pejabat Hishammuddin untuk mendapatkan kelulusan Menteri Dalam Negeri itu bagi mengubah status 2,000 pekerja asing yang kini memiliki status pemastautin tetap.

Salinan permohonan itu, menurut Zuraida, yang diberikan kepada beliau oleh seorang kakitangan awam Jumaat lalu, diedarkan kepada wakil media pada sidang media semalam.

Permohonan itu, yang bertajuk “Pilihan Raya Umum ke-13 - Memerlukan Permohonan Mendapatkan Taraf Kerakyatan Bagi Kawasan Parlimen Hulu Selangor”, menggunakan kepala surat Umno Hulu Selangor Umno dan ditandatangani oleh Idris.

Dokumen itu mendedahkan bahawa parti tersebut telah mengenal pasti dan mengesahkan senarai bakal pengundi dengan status pemastautin tetap yang boleh membantu BN di Hulu Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.

Pakatan Rakyat kuasai Selangor tiga tahun lalu dan kini memiliki 35 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pada April 2010, BN menguasai kerusi Parlimen Hulu Selangor menerusi pilihan raya kecil.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas