Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan optimistik apabila ditanya sama ada beliau akan didapati bersalah oleh mahkamah memandangkan beliau telahpun diminta membela diri berhubung perbicaraan kes Liwat II.
Tanpa berlengah, Anwar dengan yakin berkata, tiada sebab mengapa mahkamah perlu memutuskan sedemikian.
Ketika berdepan dengan persoalan sama pada 2009, Anwar
kelihatan lebih yakin dan berkata "tidak mungkin" beliau akan kembali dikurung tirai besi; namun ketika ditanya dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu, Anwar berkata "barangkali tidak."
Jauh di sudut hatinya, Anwar berkata beliau tidak akan kembali ke penjara. Namun, jawapannya itu masih mengandung persoalan.
Adakah beliau bersedia sekiranya mahkamah tetap memberikan keputusan yang tidak memihak kepada dirinya?
Apakah pula yang akan berlaku kepada PKR dan mampukah timbalan presidennya, Azmin Ali mengambil alih parti itu dalam ketiadaannya?
Beliau memberikan beberapa kata nasihat kepada Azmin dan pada masa yang sama beliau turut menempelak bekas pengikutnya Datuk Zaid Ibrahim yang bertindak keluar parti dan kini mengetuai parti KITA.
Berikut ialah wawancara Malaysiakini dengan Anwar berhubung isu yang dibangkitkan:
Malaysiakini: PKR terus diserang berhubung pemilihan langsung yang dijalankannya pada tahun lalu. Adakah tindakan mengadakan pemilihan itu satu keputusan yang betul?
DSAI: Anda tahulah ada suara-suara liberal yang kata kita tidak sepatutnya jadi terlalu demokratik kerana orang belum bersedia. Tapi, mengapa kita bercakap tentang demokratik? Inilah harga yang perlu dibayar.
Kita mahu jalankan pemilihan, dan ianya sangat mahal, tapi saya rasa, supaya adil, (jawatankuasa pemilihan) menjalankan tugas yang baik. Ada kerisauan disuarakan terutamanya aduan tentang tindakan yang berlengah-lengah, tentang disiplin parti (dan keputusan) yang digantung. Malah sekarang pun (pemilihan dibuat semula) untuk Batu Sapi dan Semporna kerana ada peti undi yang hilang.
Jadi jika anda kata kita tidak bersedia, kita boleh kata begitu. Tapi bukanlah orang tidak bersedia. Mungkin ada masalah dengan jentera tetapi orang (PKR) OK, mereka boleh terima.
Malaysiakini: Ada juga kritikan timbul memandangkan Datuk Seri bukan dipilih oleh parti.
DSAI: Ya, saya bukan dilantik melalui pemilihan langsung tetapi para perwakilan meluluskan resolusi (pada 2009). Saya tidak mempengerusikan mesyuarat parti. (Presiden, Datuk Seri Dr Wan) Azizah yang pengerusikannya.
Malaysiakini: Adakah Datuk Seri bersedia untuk bertanding dalam pemilihan akan datang?
DSAI: Jika Azizah mengalah, saya akan bertanding.
Malaysiakini: Atau sekiranya Datuk Seri tidak kembali ke penjara?
DSAI: Ya. Mungkin tidak... Tidak ada sebab (untuk didapati bersalah).
Malaysiakini: Datuk Seri pasti?
DSAI: Bawah undang-undang apa? (Pihak berkuasa) perlu bersedia dengan kessannya. Kenapa (mereka) fikir rakyat bodoh? Kenapa (mahkamah buat keputusan) seperti itu? Macam mana anda boleh buat keputusan seperti itu?
Mungkin saya patut baca teks pendakwaan dalam kes yang dipanggil prima facie ini. Mereka mempersendakan undang-undang ini.
Tambahan pula, saya belum dapat keputusan (bertulisnya), walaupun ia dibacakan di mahkamah... Saya dapati (ini) pelik.
Malaysiakini: Datuk Seri bersedia sekiranya kembali dipenjarakan?
DSAI: Saya telah melalui yang terbaik dan paling buruk. (Mereka tidak boleh) beri saya kata dua atau ugut saya seperti ini. Saya berasa, dalam hati saya (saya tidak akan kembali ke penjara).
Malaysiakini: Jadi sebab mengapa Datuk Seri tidak mahu bertanding jawatan presiden adalah disebabkan perbicaraan kes liwat bukan?
DSAI: Ya, banyak sebabnya, anda tidak perlu jelaskan semua. Saya dengar pandangan pemimpin, saya lihat (situasinya). Siapa yang mahu saya bertanding? Utusan. Ini menarik. Utusan melancarkan kempen dan anda terpengaruh.
Mereka melancarkan kempen besar-besaran, jadi anda perlu tanya kenapa. Tiba-tiba, satu perkara positif yang mereka kata ialah Anwar perlu jadi presiden kepada parti. Lagilah saya tidak mahu.
Malaysiakini: Adakah sesiapa di dalam PKR yang boleh mengambil alih?
DSAI: Tiada siapa yang kekal. Ahli politik ada ego yang besar, kadang-kadang mereka rasa begitu. Tapi demi Tuhan, anda perlu tahu.
Mandela ada pengganti, Gandhi ada pengganti. Mereka semua pemimpin besar dan mereka ada pengganti. Dan jika Rasul, walaupun anda tidak menggantikan Rasul, (digantikan) dengan para sahabat. Jadi orang kecil seperti kita, anda tidak tahu, saya mungkin akan hilang begitu sahaja daripada sistem.
Malaysiakini: Sekarang Datuk Seri ada Azmin Ali sebagai bakal pengganti tapi dia tidak seperti Datuk Seri. Dia tidak berapa disukai dalam parti.
DSAI: Ya.
Malaysiakini: Apa nasihat yang boleh Datuk Seri berikan untuk perbaiki imejnya.
DSAI: Tidaklah, dia buat kerja, maksud saya, orang kadang-kadang berasa kasihan dengan saya kerana saya dipenjarakan dan semua itu.
Malaysiakini: Jadi dia juga perlu dipenjara?
DSAI: [Ketawa] Kita bekerja sebagai satu pasukan. Azizah mungkin bukan licik berpolitik seperti saya, tapi dia boleh tarik (sokongan). Sebagai contoh, di Sabah (kami) biarkan Azizah menguruskannya dan tiba-tiba situasi kembali tenang. Jadi saya tanya dia, 'apa yang awak dah buat? Doa apa yang awak baca, keadaan sangat tenang sekarang?'
Jadi Azmin perlu buat seperti itu. Dia perlu bina pasukan yang boleh memenuhi batas atau kelemahannya.
Kedua, anda perlu dilihat... jika anda mula buat perbandingan, ialah satu masalah seperti sesiapa saja yang mengambil alih daripada Mandela. Saya, tentunya, di rang paling bawah, tapi itulah masalahnya bila orang mula buat bandingan.
Tapi saya percaya bahawa (Azmin) percaya dia ada (ciri-ciri) yang betul tapi dia mesti dilihat suka menolong, suka berdamai dan pada masa lain lebih berhati-hati, sabar dengan beberapa kenyataannya.
Ini akan ditekankan, bukan? (Bahawa) 'Azmin perlu lebih berhati-hati, sabar.' Saya ucap selamat kepada dia, lebih baik saya beritahu dia dulu [Ketawa]
Malaysiakini: Datuk Seri rasa dia pengganti yang baik?
DSAI: Bukan pengganti, ini perlu diserahkan kepada parti untuk diputuskan. Buat masa ini dia timbalan presiden, satu fungsi yang besar... Tapi untuk berjaya, seperti yang saya kata, dia mesti bekerja dalam satu pasukan dan... serahkan kepada parti untuk diputuskan. - mkini
0 Komen :
Post a Comment