PETALING JAYA: PKR menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berhubung isu video seks yang kononnya melibatkan pemimpin pembangkang sebagai berbahaya dan menggugat perpaduan Pakatan Rakyat.
Ketua Penerangan PKR Pahang, Razali Alias mendakwa tokoh veteran PAS itu mempunyai agenda sendiri dengan mengeluarkan kenyataan yang berbahaya itu.
“Dia (Mustafa) masih berminat lagi dengan UG (kerajaan perpaduan). Dia juga masih menyimpan dendam terhadap (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali.
“Beliau bercakap tanpa berfikir, bercakap ikut suka tanpa sempadan” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataaan media Mustafa mengenai isu video seks yang kononnya melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Beberapa media melaporkan Mustafa sebagai berkata bahawa PAS akan menentukan pendirian parti itu dalam Pakatan Rakyat selepas siasatan polis berhubung isu video seks ini selesai dijalankan.
Bagaimanapun, beliau menafikan mengeluarkan kenyataan itu sebaliknya mendakwa media sengaja memutar belit kenyataannya.
Dalam Sinar Harian semalam, Azmin membidas laporan yang memetik Mustafa berhubung video seks yang dikaitkan dengan Anwar.
“Apa kata kalau pemimpin PKR juga membuat kenyataan seperti ini terhadap PAS dan DAP. Sebab itu kita berhati-hati apabila membuat komen terhadap PAS dan PKR. “Saya nasihatkan Datuk Mustafa supaya jangan terperangkap dengan BN,” tambahnya.
Bekas Ketua AMK, Feriz Musa ketika mengulas berkata, isu tersebut perlu dihentikan segera sebelum merebak. Katanya, polemik dua pemimpin besar Pakatan Rakyat itu tidak perlu dipanjangkan.
0 Komen :
Post a Comment