SEKINCHAN 8 APRIL: Kepimpinan Pakatan Rakyat yakin dengan kewibawaan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengepalai tampuk pemerintahan negara berbanding pucuk pimpinan sedia ada di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ini kerana kata ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, ujian yang dihadapi Anwar sepanjang tempoh 13 tahun termasuk fitnah video seks terbaru menjadikan Ketua Umum itu seorang pemimpin yang kental menahan tekanan selain menjulang tinggi prinsip memperjuangkan hak rakyat.
" Video itu satu pembohongan. Sebab itu saya mahu beritahu, saya sokong Anwar Ibrahim, kita bantu dan kita akan junjung dia untuk menjadi pemimpin negara ini kerana kita yakin kerana orang yang telah diuji begini, taat kepada Tuhan dan tidak takut kepada tekanan. Mereka (Umno-BN) mungkin ada semua tapi kita ada Allah untuk bantu kita.
"Sebab itu kita yakin. Kamu tawarkan aku RM50 juta, lupa sahaja duit itu sebab kita yakin bahawa rakyat mesti dibela. Negara ini milik rakyat, dan rakyat mesti dapat hak kita balik," kata Johari di hadapan 5000 hadirin yang membanjiri Dewan Seri Sekinchan malam tadi.
Bercakap pada sesi ceramah "Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia" malam tadi, Johari yang juga bekas Pengarah Biro Tata Negara (BTN) memberi gambaran bahawa keperibadian mulia Ketua Pembangkang tidak sesuai untuk dikaitkan dengan kesemua pertuduhan yang dilemparkan terhadapnya sejak tahun 1998.
Kenyataan tersebut menurut Johari berdasarkan pengamatannya sendiri terhadap sahsiah Anwar yang dikenali semenjak memegang jawatan Timbalan Presiden Umno pada ketika itu.
Beliau menambah, kepercayaan yang kuat kepada kepimpinan Anwar mendorong beliau dan beberapa ahli parlimen Umno-Barisan Nasional (BN) memilih untuk meninggalkan parti itu termasuk Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution.
" Sudah tentu sebagai pengarah, saya kenal hampir semua dan saya kenal hati budi Anwar sebab itu apabila dituduh bahawa beliau meliwat, saya tidak percaya.
Sebab itu saya telefon kesemua ketua pemuda termasuk Saifuddin (Machang) kita berbincang dan akhirnya pada 2 September 1998, Anwar dipecat.
" Kita berbincang, kita buat keputusan kerana kita yakin orang yang benar ini mesti disokong. Akibatnya bila sokong sahaja Anwar Ibrahim, saya hilang kesemuanya," katanya.
Johari merupakan individu pertama di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat yang telah menonton rakaman video seks yang cuba dikaitkan dengan Anwar.
Video tersebut didedahkan 21 Mac lalu oleh tiga individu yang dikenalpasti sebagai Tan Sri Rahim Tamby Chik, Datuk Shazryl Eskay dan Shuib Lazim di Carcosa Seri Negara.
Kemudiannya, pada 4 April, sedutan video sepanjang 2 minit disebarkan di laman Youtube sehingga memaksa keluarga Anwar menontonnya untuk tujuan pengesahan.
Anwar percaya cubaan menfitnah beliau bertujuan untuk mengalih perhatian masyarakat menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak pada 16 April nanti.
4 penuntut IPT ditahan disyaki edar dadah
20 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment