Bandaraya Ankara akan menyampaikan anugerah berprestij Turki, 'Anugerah Tanggungjawab Sosial', kepada isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor, pada Selasa ini bagi kerja-kerja kemasyarakatannya.
Datuk Bandar Ankara, Melih Gokcheh berkata penyertaan aktif dan berterusan Rosmah dalam aktiviti sosial amat dikagumi oleh Greater Ankara Municipality.
"Kehadirannya dalam menghulurkan bantuan serta cuba melakarkan senyuman kepada golongan yang menghadapi masalah sosial, ekonomi, persekitaran dan kesihatan bukan sahaja penting dalam membentuk keseimbangan sosial tetapi juga menghasilkan manfaat sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.
Gokchek berkata "ini menjadi sumber inspirasi kepada kerja-kerja kami" di mana selain menunaikan tanggungjawab pengurusan perbandaran, kami juga setia menyediakan perkhidmatan sosial kepada setiap segmen masyarakat khususnya wanita, kanak-kanak, remaja, kurang upaya dan warga berusia.
Katanya penyampaian anugerah tersebut sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Ankara dari 4 hingga 6 Mac ini, akan diberikan kepada Rosmah lebih awal oleh kerana beliau akan mengiringi suaminya dalam rangka lawatan rasmi ke Turki mulai Isnin ini.
Gokchek menyifatkan usaha-usaha Rosmah yang tidak ternilai itu, yang juga Yang di-Pertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), dalam menyentuh hati rakyat yang memerlukan bantuan, dikagumi penghuni bandaraya itu.
Katanya perbandaran itu juga turut melaksanakan pelbagai aktiviti sosial untuk golongan wanita dan remaja di mana program kelab wanita ditubuhkan di 15 daerah yang memberi manfaat kepada 165,000 orang.
Kelab tersebut ditubuhkan bagi memastikan kemandirian wanita daripada segi psikologi, sosial dan ekonomi selain menyediakan ilmu kemahiran supaya mereka dapat memainkan peranan berkesan dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat, katanya.
Datuk Bandar Ankara itu juga berkata bandar raya itu telah menganjurkan Kursus Latihan Vokasional Untuk Suri Rumah (Belmek) dan Kursus Teknikal Vokasional (Beltek) bagi membolehkan mereka menceburi profesion baru.
Rosmah, yang aktif dalam kerja amal termasuk program Pertama Negara, turut menerima 'Anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa' daripada Majlis Perniagaan Bagi Persefahaman Antarabangsa (BCIU) Amerika Syarikat, pada April tahun lepas.
Anugerah itu adalah sebagai tanda pengikitirafan Rosmah terhadap pelbagai kerja amal dan sambutan menghargai hubungan penting antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
--Bernama
Kali ini giliran 'scammer' pula kena tipu
42 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment